Jabatan Perikanan Malaysia melancarkan terma rujukan (TOR) yang berperanan sebagai garis panduan dalam pemuliharaan penyu di negara ini.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata jabatan itu berharap menerusi TOR, program pemuliharaan haiwan marin tersebut lebih berkesan dan memberi impak positif kepada peningkatan populasi penyu.
"TOR ini bukanlah untuk menyukarkan mana-mana pihak, sebaliknya ia adalah sebagai garis panduan kepada mana-mana pihak yang ingin terlibat dengan aktiviti pemuliharaan penyu.
"Malah, diharapkan dengan pelancaran TOR ini, semua urusan akan dapat diseragamkan dan kita harapkan lebih banyak pihak yang akan berganding bahu dengan jabatan untuk menyelamatkan spesis haiwan yang semakin terancam dan pupus itu," katanya selepas pelancaran TOR di Rantau Abang di Dungun kelmarin.
Pada majlis itu 36 agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara yang terlibat dalam pemuliharaan penyu menerima TOR masing-masing.
Mengikut rekod Jabatan Perikanan Malaysia, lebih 80 peratus dari keseluruhan 5,217 pendaratan penyu yang dicatatkan di negara ini sepanjang tahun lalu adalah di Terengganu.
Sebanyak 474,463 biji telur penyu telah dieramkan dan daripada jumlah itu sebanyak 358,113 ekor anak penyu telah dilepas ke laut.
Ahamad Sabki berkata pihaknya berpuas hati dan gembira dengan penglibatan kesemua 36 agensi berkenaan yang sanggup memberi sumbangan peruntukan kepada jabatan untuk usaha pemuliharaan penyu.
"Penyu adalah warisan istimewa yang terdapat di negara kita. Sewajarnya warisan ini kita hargai dan pulihara untuk tatapan generasi akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment