Friday, July 13, 2012

FAMA Sasar 100 Ushawan Baru Pasar Tani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu menyasarkan RM24.5 juta nilai jualan pasar tani di seluruh negeri selain 100 usahawan baru pasar tani pada tahun ini.

Pengarah Fama Terengganu, Hasan Jusoh berkata, pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai dengan adanya dua buah pasar tani yang dikenal pasti sebagai pasar tani ‘gergasi’ iaitu di Padang Hiliran dan Permin Jaya, selain penubuhan dua lagi pasar tani baru pada tahun ini.


“Bilangan usahawan pasar tani di seluruh Terengganu sehingga Jun 2012 ialah 789 orang.

Manakala, jumlah pasar tani sebanyak 20 buah termasuk dua pasar tani baru dibuka pada tahun ini di Dataran Taman Purnama, Kuala Ibai serta Pasar Tani Kampung Menerong.

“Pembukaan pasar tani baru ini dilihat bukan sahaja mencapai sasaran Fama untuk menubuhkan dua pasar tani pada tahun ini dengan sasaran bilangan usahawan 100 orang tetapi juga memastikan nilai hasil jualan pada tahun 2012 ini sebanyak RM24.5 juta tercapai.

“Hasil jualan pasar tani ini mengalami peningkatan setiap tahun. Berdasarkan rekod, pada 2009, nilai jualan sebanyak RM16.2 juta bagi 10 buah pasar tani, manakala bagi 2010, ia meningkat kepada RM20 juta melibatkan 14 buah pasar tani," katanya.

Sementara itu katanya, pada tahun lepas jumlahnya terus meningkat kepada RM22.6 juta dengan jumlah pasar tani sebanyak 18 buah.

"Pencapaian nilai jualan pada 2011 juga melebihi sasaran asal iaitu RM22.4 juta dan pastinya ia uatu perkembangan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pasar Tani Kampung Menerong, Ajil, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu, Kamarudin Ngah. Menurutnya, bagi daerah Hulu Terengganu, nilai jualan pasar tani dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini ialah sebanyak RM806,110 membabitkan empat buah pasar tani iaitu di Kuala Berang, Kuala Ping, Kuala Telemong serta Kampung Menerong.

No comments:

Post a Comment