Sunday, July 15, 2012

IQ Terengganu Bakal Jadi IPT Menjelang 2015

 

Institut Al-Quran Terengganu (IQT) bakal dijadikan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) menjelang 2015.

Pengarahnya, M Rozi Bidin berkata, walaupun ianya masih di dalam proses perbincangan, namun pihaknya telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kerajaan Negeri untuk menjadikan institut itu sebagai salah sebuah IPT di Terengganu.


“Cadangan itu disebabkan IQT merupakan satu-satunya institut yang mempunyai aspek-aspek agama termasuk hafazan dan penuntut juga layak menerima sijil dan diploma mengikut kursus yang diambil setelah menamatkan pelajaran masing-masing.


"Perancangan untuk menjadikan ia sebuah IPT bermula sejak 2007 tetapi dengan kecemerlangan dan kejayaan berterusan yang dibuktikan oleh pelajar IQT, ia mengukuhkan lagi kepercayaan Kerajaan Negeri kepada institut ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Hari Terbuka dan Khatam Al-Quran di IQT di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir merasmikan majlis, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Rozali Salleh.

Menurutnya, pihak akademik IQT turut bercadang menambah tiga lagi kursus baru iaitu kelas Al-Quran dan Bahasa, Al-Quran dan Hadis serta Diploma Tahfiz Wal Qiraat setelah institut itu bakal dinaik taraf sebagai IPT.

M Rozi berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan kos sebanyak RM28 juta untuk membina asrama yang mampu memuatkan seramai 400 orang.

“Buat masa ini, peruntukan berkenaan telah diluluskan tetapi masih menunggu tender sebelum pelaksanaan dapat dijalankan dan dijangka dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tambahnya, masalah asrama yang tidak mencukupi antara punca mengapa dalam masa 28 tahun ia beroperasi, hanya 900 pelajar dapat dikeluarkan malah terpaksa mengahadkan kemasukan pelajar kepada hampir 70 orang sahaja setiap tahun.

Sementara itu, mengenai majlis berkenaan, seramai 56 pelajar berjaya khatam Al-Quran sambil disaksikan warga kerja IQT dan juga ibu bapa masing-masing.

No comments:

Post a Comment