Sunday, July 15, 2012

Lawatan Najib Ke Dungun Beri Pelbagai Pengertian

Rosli mengiringi Perdana Menteri pada pertemuan dengan orang ramai di Dungun.

Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Dungun pagi semalam, sebagai lawatan rasmi pertama sejak beliau menjadi Perdana Menteri mempunyai pengertian tersendiri, lebih-lebih lagi buat penduduk serta hampir 10,000 warga Universiti Teknologi Mara (UiTM), dari seluruh semenanjung yang turut hadir untuk menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara itu.

Biarpun lawatan berkenaan singkat, namun rata-rata warga komuniti ditemui berharap supaya ada sesuatu keajaiban berlaku serta harapan baru terutama dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduk.

Najib dalam ucapannya ketika merasmikan program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) di Arena Square itu, menyeru seluruh rakyat agar melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan kerana hanya dengan cara itu ia dapat mengubah untung nasib sesuatu bangsa sekali gus menentukan kemajuan negara.

Namun bagi penduduk tempatan, apa yang lebih penting adalah pengumuman Najib untuk meneliti permohonan pemimpin setempat untuk membina sebuah hospital baru bagi menampung keperluan penduduk di daerah ini menceriakan kembali harapan rakyat kerana projek yang sepatutnya sudah dilaksanakan tertangguh beberapa kali akibat masalah peruntukan kewangan.

Daerah Dungun catat pelbagai sejarah

Pesuruhjaya Persatuan Warga Melayu Terengganu, Mohamad Yusof ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Najib mengenai pembinaan hospital baru itu berterima kasih atas perhatian yang diberikan serta berharap supaya pembinaan itu dipercepatkan.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional Dungun, Datuk Wira Rosli Mat Hassan dalam ucapannya pula berkata, Dungun telah mencatat beberapa peristiwa penting dalam sejarah negara.

Antaranya, kelahiran kampus cawangan pertama iaitu kampus UiTm Dungun yang ditubuhkan pada tahun 1972 selepas kampus induk Shah Alam, manakala penubuhan institusi masyarakat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah dilancarkan di Dungun pada tahun sama oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua yang juga merupakan bapa kepada Najib.

Menurut Rosli, pelancaran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), salah sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri yang menjadi salah satu nadi perkembangan ekonomi di negeri ini juga telah dilancarkan di Dungun.

Sehubungan itu, beliau meminta agar rakyat mengingati sejarah yang tercipta serta terus memberi kepercayaan kepada kerajaan yang telah banyak berjasa dalam mencorakkan kemajuan ekonomi di bumi bertuah ini.

Selepas menyampaikan ucapan, Najib turut menikmati jamuan makan tengahari yang disediakan secara gotong royong oleh lebih 50 JKKK seluruh daerah Dungun.

Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) bantu 5,000 anak Melayu

Dalam pada itu, dianggarkan 5,000 anak Melayu miskin yang memiliki pencapaian akademik kurang memuaskan dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Dr Ir Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kesemua pelajar berkenaan diterima masuk ke UiTM melalui program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), satu program untuk membantu anak Melayu miskin yang mendapat keputusan akademik kurang memberangsangkan agar dapat melanjutkan pengajian ke UiTM.

Berucap sempena program MDAB dan kenduri rakyat 100 JKKK di Arena Squrae di Dungun, Sahol berkata, kerajaan telah memberi ruang kepada UiTM untuk melakukan proses transformasi kepada kaum Bumiputera melalui program MDAB itu dan ia terbukti telah banyak membantu anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan.

Beliau berharap agar program berkenaan diteruskan pada masa akan datang dan mengucapkan tahniah kepada lebih 10,000 warga UiTM dari seluruh negara yang hadir pada program berkenaan untuk meraikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang merasmikan program MDAB itu.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment