Badan bukan kerajaan Islamic Aid Malaysia (IAM) memperuntukkan RM250,000 bagi membaik pulih 25 buah rumah milik ibu tunggal dan keluarga miskin di lima buah negeri tahun ini, kata presidennya Zawahir Abdullah.
Beliau berkata menerusi program baik pulih rumah yang bermula 7 Jun lepas, pihaknya berjaya menyiapkan 15 buah rumah di Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan kos keseluruhan RM150,000.
Sebanyak 10 buah lagi akan dibaik pulih di Perak dan Pahang hasil pembiayaan Etiqa Takaful Berhad, katanya semasa melawat dua buah rumah yang siap dibaiki di Telaga Mas di Pokok Sena, kedah semalam.
Antara kerja pembaikan yang dilakukan termasuk menukar bumbung bocor, membina bilik air, dapur serta bilik tidur.
"Setiap rumah, kita peruntukkan antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung kepada keadaan rumah tersebut. Jika rumah tersebut perlu dibina semula, kita akan turut lakukan," kata Zawahir.
Beliau berkata program tersebut akan diperluas ke Sabah dan Sarawak tahun depan.
Selain itu IAM turut menyampaikan bantuan sempena bulan Ramadan yang berupa barangan keperluan asas kepada kira-kira 3,000 keluarga miskin di seluruh negara.
"Program ini diberi secara berperingkat dan ia telah bermula di Sabah baru- baru ini," katanya.
Salah seorang pemilik yang rumahnya siap dibaiki itu, Zabedah Baharin, 46, melahirkan rasa syukur kerana rumahnya dibaiki pada bahagian dapur, bilik air dan bumbung.
No comments:
Post a Comment