Suspek kes curi tabung Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh (kanan) dan dua lagi suspek diberkas. |
Suspek berumur 34 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis di hadapan Masjid Ibnu Abbas, Pengkalan Nyireh, di Besut, pada jam 4 petang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang baru dibebaskan dari penjara pada 2009 atas kesalahan pecah rumah diburu kerana disyaki sebanyak dua kali memecah tabung masjid sama sebelum ini.
Menurutnya, kali pertama suspek dipercayai memecah tabung masjid itu pada 29 Jun lalu dan kali kedua pada 2 Julai antara pukul jam 8 hingga 8.30 pagi.
“Polis dan Jawatankuasa serta kariah masjid sudah mengenali pasti suspek melalui imej video kamera litar tertutup (CCTV) yang dirakam dalam masjid itu.
“Suspek yang sudah berkeluarga dipercayai cuba mengulangi perbuatannya untuk kali ketiga semalam, namun tidak sempat berbuat demikian apabila diberkas sepasukan pegawai dan anggota polis di depan masjid tersebut hasil kerjasama kariah masjid melalui Program 1 Masjid 1 Polis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut semalam.
Noorzainy berkata, hasil pemeriksaan dalam satu beg yang dipegang suspek, polis mendapati di dalamnya mengandungi sebatang besi bulat, sebatang besi tajam, lampu suluh, dawai dan tunai berjumlah RM74.
Menurutnya, kesemua peralatan tersebut dipercayai digunakan suspek untuk membuka tabung masjid itu manakala tunai yang dirampas dipercayai wang hasil curi di masjid sama sebelum ini.
Modus operandi suspek adalah berlakon hendak mendirikan solat dan menunggu semua jemaah keluar sebelum memecah tabung.
Dalam kes berasingan polis turut berjaya memberkas dua lelaki berumur 23 dan 18 tahun kerana disyaki sedang cuba mencuri wang tabung Masjid Jabi, kelmarin.
“Anggota polis kereta peronda polis (MPV) yang melakukan lawatan di masjid itu ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan yang diletakkan di dalam masjid.
“Apabila anggota polis membuat pemeriksaan di dalam masjid didapati seorang suspek sedang memancing duit dalam tabung masjid manakala rakannya yang menyedari kehadiran polis melarikan diri ke arah tandas,” katanya.
Katanya, suspek yang sedang asyik memancing tabung masjid itu akhirnya berjaya diberkas dan rakannya dari Dungun (23 tahun) dan Rompin, Pahang berjaya ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan RM5,000 seorang oleh Mahkamah Rendah Majistret Besut, semalam. \
Bagi kes pertama disiasat di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan dan kes kedua di bawah Seksyen 379/511 kanun yang sama. Suspek kes curi tabung Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh (kanan) dan dua lagi suspek diberkas.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment