Seorang lelaki sanggup terjun ke dalam perigi bagi mengelak diberkas sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah dekat Kampung Pasir Akar, Hulu Besut awal pagi semalam.
Dalam serbuan jam 4 pagi itu, suspek berumur 21 tahun bertindak terjun dalam telaga untuk menyembunyikan diri apabila menyedari kehadiran polis yang sedang melakukan Ops Tapis.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat mengenai penagih dadah, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pasir Akar.
Menurutnya, ketika serbuan polis berjaya menahan rakan suspek berumur 16 tahun yang beralamat di Kampung Jabi yang sedang tidur di ruang tamu rumah itu.
“Bagaimanapun, suspek pertama melarikan diri dan cuba bersembunyi di dalam perigi berdekatan rumah itu dan tindakannya disedari polis serta berjaya diberkas,” katanya.
Kamaruddin berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu membawa kepada penemuan selaras senapang angin buatan sendiri yang disembunyikan di para bahagian dapur rumah.
Senapang angin tersebut dirampas dan kedua-dua penganggur itu dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
Polis tidak menemui sebarang dadah dalam serbuan itu namun saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memiliki, menyimpan atau menggunakan sebarang senjata yang menyerupai senapang atau senjata api kerana ia menyalahi undang-undang termasuk senjata buatan sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment