Wednesday, July 18, 2012

Maidam - Zakat Fitrah Terengganu Antara RM4.50 - RM7.60

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar zakat fitrah di Terengganu tahun ini pada RM7.60, RM7 dan RM4.50 mengikut kategori beras yang dimakan.

Yang Dipertua Maidam Datuk Mazlan Hashim berkata kadar itu diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bayaran boleh dibuat secara tunai atau dengan beras bermula 1 Ramadan hingga pagi Aidilfitri sama ada menerusi amil yang dilantik atau kaunter bayaran zakat Maidam, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.


Selain itu, zakat fitrah juga boleh dibayar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) bagi pelanggan Celcom dan Maxis. Bagi pembayaran di kaunter, umat Islam boleh berbuat demikian dari 8.30 pagi hingga 4 petang (Ahad hingga Rabu) dan 8.30 pagi hingga 2.30 petang pada hari Khamis.

Bagaimanapun bermula 5 Ogos, kaunter akan dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 4 petang, katanya.

Selain itu, Maidam juga telah melantik 1,173 amil yang akan ditempatkan di masjid dan surau di seluruh negeri.

Untuk tahun ini Maidam menyasarkan kutipan zakat fitrah RM5.8 juta berbanding RM5.7 juta tahun lepas.

Mengenai pertaus yang gagal membayar zakat fitrah di Terengganu, beliau berkata kira-kira 20 peratus daripada 985,000 orang penduduk Islam yang wajib membayar zakat fitrah di negeri ini didapati tidak membayarnya kepada Maidam tahun lepas.

Mereka yang tidak membayar fitrah kepada amil yang dilantik oleh Maidam adalah satu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Ini termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu tahun 1422H/2001M seksyen 20(b)," katanya.

No comments:

Post a Comment