Friday, July 13, 2012

NEKAD Bekal Ikan Di Lima Rangkaian Pasar Raya Besar Di Pantai Timur

Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) menjadi pembekal utama ikan untuk sebuah pasar raya besar di pantai timur sejak tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum.

Sehubungan itu, persatuan itu akan membina gudang simpanan sendiri bagi memastikan mereka dapat menyimpan lebih banyak stok ikan bagi memenuhi permintaan termasuk dari luar Kedah.


Beliau berkata Nekad membekalkan kira-kira lima hingga enam tan sebulan untuk lima rangkaian pasar raya itu di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Pasar raya itu telah beri peluang kepada kita dan kita akan gunakan peluang itu.

Kalau ikan tak banyak kita tak boleh bekal banyak sebab kita tak ada tempat untuk simpan tapi bila gudang dah siap kita boleh simpan ikan dan boleh bekalkan ikan lebih banyak lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembinaan Gudang di Bukit Kayu Hitam semalam.

Gudang yang berkeluasan 2.04 hektar itu bernilai kira-kira RM3 juta dan boleh menyimpan 500 tan ikan untuk tempoh setahun.

Ia adalah usaha kerajaan persekutuan di bawah Dasar Agro Makanan iaitu untuk memastikan bahawa bekalan makanan di negara ini mencukupi untuk rakyat dengan harga jualan yang berpatutan.

No comments:

Post a Comment