Wednesday, July 11, 2012

Penentu Laksana Projek Ikan Keli Menjana Ekonomi

Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) meneroka bidang ternakan ikan keli bagi menjana ekonomi setelah aktiviti menternak udang menemui kegagalan.

Pengurus Besarnya Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood berkata Lembaga Pengarah Penentu meluluskan peruntukan hampir RM50,000 kepada Penentu untuk menggerakkan projek tersebut yang bermula kira-kira dua bulan lepas

"Memandangkan ikan marin hari ini berkurangan, jadi kita beralih kepada penternakan ikan air tawar di kawasan Kompleks Pendaratan Ikan di Cendering," katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Terengganu, semalam.


Beliau berkata Penentu memilih kawasan berkenaan untuk menternak ikan keli berdasarkan kemudahan seperti tangki, yang digunakan sebelum ini untuk menternak ikan ketutu, tersedia di situ.

Katanya projek ternakan ikan ketutu terbengkalai berikutan ternakan itu lambat membesar selain kos operasi yang tinggi. Untuk pusingan pertama, katanya Penentu melepaskan sebanyak 54,000 ekor anak ikan keli dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 75,000 ekor untuk menampung permintaan pada musim perayaan nanti.

"Setakat hari ini keli ini dapat diternak dengan baik dan kita jangka 80 peratus daripada hasil ternakan itu dapat dijual," katanya sambil berkata setakat ini tempahan diterima daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Biasanya penternakan ikan keli memakan masa antara tiga dan empat bulan sebelum dapat dituai dan Penentu membelanjakan hampir RM10,000 untuk membeli makanan untuk benih ikan berkenaan.

Kos operasi keseluruhan projek itu dijangka mencecah RM33,000 dan ia akan memberi keuntungan kepada Penentu sebanyak sekitar RM14,000 berdasarkan harga ikan pada tahap RM5 sekilogram.

Tengku Mohd Anuar berkata pasaran dan pengedaran ikan keli setakat ini tiada masalah dan sebuah pusat pemasaran ikan air tawar dibina dalam kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu.

Sebelum ini, beliau berkata Penentu telah mengusahakan ternakan udang di Kampung Fikri, Setiu tetapi malangnya tahun ini ternakan itu diserang penyakit menyebabkan pihaknya mengalami kerugian.

Namun begitu, beliau berkata Penentu tidak berputus asa dan akan terus menghidupan kolam-kolam ternakan udang itu dengan ternakan ikan siakap bagi mengukuhkan ekonomi persatuan.

Tengku Mohd Anuar berkata untuk projek tersebut, pihaknya telah memasukkan kira-kira 100,000 ekor anak ikan siakap dalam dua daripada enam bulan kolam yang dijangka menelan kos RM80,000.

Beliau berkata pihaknya mempunyai 40 buah kolam dengan sebahagian besar daripada kolam-kolam itu disewakan kepada pengusaha ternakan udang, manakala selebihnya diusahakan oleh Penentu sendiri.

"Pada tahun lepas kita mendapat keuntungan sebanyak RM300,000 daripada projek udang di Kampung Fikri itu," katanya.

No comments:

Post a Comment