Sunday, July 15, 2012

Perdana Menteri Lancar 1M4U Di KLCC Hari Ini

 
Program sukarelawan 1Malaysia For Youth (1M4U) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Esplanade KLCC di Kuala Lumpur, petang ini bakal mencatatkan sejarah dalam gerakan belia di negara ini.

Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Razali Mohamed Yassin berkata, Perdana Menteri akan menyampaikan amanat penting mengenai kepentingan belia kepada agenda pembangunan negara pada masa depan.


"Bermula pukul 3 petang, Perdana Menteri akan melakukan walkabout di sekitar Esplanade bagi beramah mesra dengan sebahagian daripada 40,000 belia yang hadir di KLCC sebelum perasmian 1M4U," ujarnya semalam.

Menurut Razali, selain KBS, terdapat 15 kementerian, 16 agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi kesukarelaan akan terlibat dan menjalankan sebanyak 16 aktiviti sepanjang hari ini di beberapa lokasi berlainan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Antaranya Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. "Antara agensi, NGO dan institusi yang terlibat pula ialah i-Volunteer, Yayasan Salam Malaysia, Belia 4B Ampang, 4B Titiwangsa dan banyak lagi," katanya.

Tambahnya, setiap kementerian bertanggungjawab menggerakkan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, program derma darah dan kempen kesihatan sebelum berkumpul dan menyertai pelbagai aktiviti di Esplanade, KLCC.

"Program 1M4U diwujudkan oleh kerajaan untuk menggalakkan penglibatan golongan belia pelbagai kaum dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan yang bersifat kenegaraan dan semangat 1Malaysia.

"Selain itu, 1M4U juga merupakan platform bagi mereka mengetengahkan inovasi dan kreativiti menerusi perancangan dan penglibatan dalam program atau aktiviti yang boleh menguntungkan negara dan diri mereka sendiri," tambahnya.

Kepada belia yang ingin mendaftar program sukarelawan 1M4U, sila layari laman web www.1m4youth.com.my atau laman portal KBS, www.kbs.gov.my.

 Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Unit Pembangunan Kesukarelawan KBS, Siti Anura Rais di talian 019-388 8512 atau Amaludin Dollah di talian 012-387 0405.

No comments:

Post a Comment