Tuesday, July 17, 2012

PM Sampaikan Piala Kejohanan Kepada Terengganu Sebagai Juara Sukma ke-15, Juara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata aktiviti sukan perlu disuburkan di semua peringkat termasuk akar umbi dalam usaha melahirkan jaguh sukan yang membanggakan negara.

Beliau berkata kejayaan dalam bidang sukan bukan sekadar mengharumkan nama negara tetapi juga satu alat perpaduan selain menaikkan semangat cintakan negara.

"Kerajaan memandang bidang sukan sebagai bidang penting dalam kejayaan sesebuah negara. Sukan juga adalah alat perpaduan selain membangunkan industri yang memberi pulangan yang besar, menjadi satu tarikan pelancongan, menaikkan semangat cintakan negara, menaikkan imej kita di persada antarabangsa dan memupuk satu gaya hidup sihat," katanya.




Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Sukan Malaysia ke-15 yang disertai 15 kontinjen melibatkan penyertaan 5,828 atlet dan pegawai yang bermula sejak 7 Julai lepas.

Negeri Terengganu muncul johan keseluruhan kejohanan dengan memungut 62 pingat emas.

Turut hadir pada acara penutupan yang bertemakan 'Sukan Menjana Perpaduan', yang dihadiri lebih 40,000 orang ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Upacara dimulakan dengan Perdana Menteri menunggang basikal mengelilingi stadium, simbolik malam gilang-gemilang buat seluruh penggemar sukan tanah air.

Kombinasi konsep moden dan tradisional itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan kumpulan One Nation Emcee.

Temasya dwi tahunan yang bermula pada 1986 itu, disertai 5,828 atlet dan pegawai dari 15 kontinjen termasuk pasukan jemputan, Brunei.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan piala kepada Terengganu yang muncul juara keseluruhan buat kali keempat berturut-turut selepas berjaya mengutip 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Sementara itu, dua atlet angkat berat negara, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus dari Sabah diumum Olahragawan dan Olahragawati SUKMA kali ini.

Majlis bersejarah itu diteruskan dengan cabutan nombor bertuah, diikuti gimik perasmian penutupan dan upacara menurunkan bendera kejohanan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri kemudian menyerahkan bendera kejohanan kepada Perlis yang diwakilkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong selaku tuan rumah SUKMA 2014.

Ia disusuli dengan persembahan kebudayaan dan kesenian Perlis sebagai mengalu-alukan dan menjemput semua kontinjen menyertai SUKMA di negeri itu.

Selaku tuan rumah kali ini, Pahang menawarkan sebanyak 377 pingat emas, 377 perak dan 377 gangsa daripada 24 jenis sukan yang dipertandingkan sejak 1 Julai lepas, membabitkan 11 venue di tiga daerah di negeri itu.

Najib berkata kejohanan SUKMA merupakan satu konsep yang mampu melahirkan jaguh sukan negara untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi seperti kejohanan Olimpik.

"Ramai ahli sukan termasuk yang akan bertanding di kejohanan sukan Olimpik di London nanti merupakan yang lahir dari kejohanan SUKMA," katanya.

Beliau berkata usaha melahirkan jaguh sukan negara perlu diadakan secara sistematik, terancang dan berterusan serta memerlukan sokongan padu semua pihak. Najib turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pahang yang dilihat telah berjaya menganjurkan kejohanan itu.

No comments:

Post a Comment