Pasukan profesional Terengganu - Terengganu Cycling Team (TSG) kini fokus menghadapi kejohanan berbasikal Tour de East Java, Indonesia yang akan berlangsung selepas Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hadi Hassan berkata pihaknya memberi tumpuan terhadap kejohanan tersebut kerana ia merupakan antara kejohanan terunggul di peringkat Asia.
"Pelumba kita sedang membuat persediaan rapi bagi menghadapi kejohanan tersebut termasuk mengadakan latihan semasa bulan puasa," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata TSG berkemungkinan menyenaraikan enam pelumba membawa cabaran Terengganu di kejohanan tersebut yang mana pemilihan pelumba akan dibuat tidak lama lagi.
Hadi berkata pada masa yang sama, TSG akan membuat persediaan menghadapi Jelajah China dan Jelajah Brunei yang dijangka berlangsung September ini.
Katanya pada setiap kejohanan, TSG akan menghantar enam pelumba berlainan mengikut laluan perlumbaan.
Beliau berkata bulan Ramadan bukan penghalang kepada pelumba menjalani latihan bagi mengekalkan prestasi mereka menghadapi kejohanan-kejohanan tersebut.
"Kita tetap berkayuh cuma sedikit terbatas...mereka juga akan berlatih selepas solat Tarawih," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata TSG bercadang mengambil beberapa pelumba remaja yang beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) Pahang untuk diserap sebagai pelumba pelapis pasukan itu pada masa depan.
Hadi berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa pelumba yang mempamerkan aksi terbaik pada temasya itu dan akan mengumumkannya tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment