Friday, July 13, 2012

Pertandingan Robocon 2012 Peringkat kebangsaan Sengit

 Pelajar KKTM Kemaman mengendali robot mereka ketika sesi ujian pengendalian pada Pertandingan Robocon 2012 Peringkat Kebangsaan di Kuala Terengganu, semalam.
Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman yakin dapat memberi saingan sengit kepada pencabar utama Pertandingan Robocon 2012 Peringkat Kebangsaan yang bermula di Kuala Terengganu, semalam.

Ini merupakan penyertaan sulung bagi institusi yang baru berusia dua tahun dan pasukan dengan sembilan pelajar bersama tiga pensyarah itu telah membuat persiapan intensif sejak Mei lalu.

Pengurus pasukan, Hasanuddin Mohamad Noor memberitahu, penyertaan ini sebagai pendedahan baru yang memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam bidang robotik melalui curahan idea, kreativiti, di samping kerja keras dan semangat kerjasama yang tinggi.


''Kita berhadapan dengan 60 lagi pasukan daripada 43 institusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran. Ia saingan yang sengit, namun kita percaya akan mendapat tempat," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu semalam.

Hasanudin yang juga Ketua Program Diploma Teknologi Kejuruteraan Loji Proses (instrumentasi dan kawalan) memberitahu, turut bersamanya ialah dua lagi pensyarah iaitu Mohd. Asiq Hamdi dan Amir Husainy Abdul Aziz.

''Kumpulan pelajar pula terdiri daripada Ahmad Asyraf Mohd. Yusoff, Noor Amirul Mohd. Noor, Mohd. Zairil Zakaria, Mohd. Qayyun Mohd. Isa, Mohamad Lokman Hakim Mad Noh, Muhamad Nazirudin Ismail, Mohd. Zaffi Sulong, Nik Mohamad Hasrul Nizam Rozman dan Hanif Faisal Mohd. Rosli.

''Mereka merupakan gabungan pelajar semester dua dan tiga daripada program instrumentasi dan kawalan serta program elektrikal dan mekanikal," ujarnya.

Pertandingan Robocon 2012 yang akan berlangsung di Stadium Negeri di sini sehingga 17 Julai ini menyaksikan penyertaan terbanyak sejak pertandingan tahunan itu dimulai pada tahun 2002.

Turut serta Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Teknologi Petronas, Politeknik Seberang Prai, Universiti Tunku Abdul Rahman, Institut Teknikal Jepun-Malaysia, Politeknik Ungku Omar, Kolej Komuniti Segamat, Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu dan Pusat latihan Teknologi Tinggi Kulim.

Difahamkan buat pertama kalinya penganjuran pertandingan tahunan ini diadakan di luar Lembah Klang dan bandar raya ini dipilih kerana dilengkapi pelbagai kemudahan yang diperlukan.

Pertandingan kali ke-11 dianjurkan bersama kerajaan negeri dengan kerjasama Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan SIRIM Bhd., bertemakan Ke Arah Keamanan dan Kemakmuran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka merasmikan program penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu pada petang 17 Julai.

Pemenang akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong Ogos depan.

No comments:

Post a Comment