Telekom Malaysia Berhad (TM) menyasarkan 1.3 juta premis kediaman dan perniagaan di seluruh negara melanggan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) atau Unifi menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM Datuk Bazlan Osman berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu kerana jumlah premis yang melanggan Unifi ketika ini berjumlah 1.22 juta di seluruh negara.
"Setelah dua tahun Unifi dilancarkan, TM juga berbangga apabila jumlah pelanggan kami kini mencecah 395,000 orang dan dijangka terus meningkat kepada 400,000 sebelum akhir tahun ini," katanya pada sidang media pada majlis pelancaran perkhidmatan Unifi peringkat Terengganu di Bukit Kuang di Kemaman.
Pelancaran itu dilaksanakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Che Azemi Haron dan Naib Presiden Eksekutif TM Datuk Kairul Annuar Mohamed Zamzam.
Terengganu adalah negeri pertama di Pantai Timur yang menikmati perkhidmatan berkenaan sebelum diperluaskan ke Pahang hujung bulan ini dan Kelantan pula pada tahun depan.
No comments:
Post a Comment