Monday, July 30, 2012

RM350,000 Bantu Saudara Kita, Orang Asli

 

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan RM350,000 untuk diagihkan kepada lebih 900 Saudara Kita serta masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini sempena sambutan Aidilfitri.

Pengerusinya, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, setiap seorang yang memiliki tanggungan tidak lebih dari tiga orang menerima RM350 manakala bagi mereka yang mempunyai lebih ramai tanggungan menerima sebanyak RM450.



Agihan wang zakat itu telah mulai dilakukan pada Majlis Berbuka Puasa dan Agihan Zakat Aidilfitri Saudara Kita negeri Terengganu di Hotel Primula di Kuala Terengganu, kelmarin.



"Kita juga menampilkan sedikit kelainan pada tahun ini apabila buat pertama kali mengadakan majlis di hotel," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat; Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman serta Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd. Rozali Salleh serta beberapa wakil daripada persatuan bukan Islam.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIDAM akan bekerjasama dengan JHEAT dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melaksanakan beberapa lagi program Ihya' Ramadan tahun ini.

Katanya, program itu termasuklah Kem Ramadan Saudara Kita, Kem Ramadan Masyarakat Orang Asli, Ziarah Dakwah, Majlis Berbuka Puasa dan Agihan Zakat Aidilfitri di daerah Besut, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Sementara itu, keceriaan tergambar pada wajah Saudara Kita dan Orang Asli apabila mereka bukan sahaja diraikan dalam majlis berbuka puasa dalam suasana berbeza, malah turut menerima agihan zakat serta sumbangan biskut raya.

Program tahunan itu menjadi platform kepada golongan itu untuk saling beramah-mesra dan merapatkan silaturahim sesama mereka.

Bagi Khatijah Abdullah, 60, dari Padang Nenas, dekat sini jemputan menghadiri majlis itu amat ditunggu-tunggu saban tahun, apatah lagi dia dan beberapa ahli keluarga yang lain turut menerima bantuan zakat.

"Alhamdulillah, dapat berbuka puasa bersama saudara sesama Islam di tempat mewah sebegini (hotel), kalau dengan biaya sendiri tentunya tidak akan datang. Hari ini juga dapat zakat, jadi saya amat bersyukur," katanya.

 Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment