Friday, July 13, 2012
Rumah Teres 60 Unit Untuk Penduduk Taman Rahmat Pulau Kerengga
Kunjungan pertama Menteri Besar ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang membawa berita gembira kepada penghuni taman itu apabila kerajaan negeri bersetuju membina rumah teres yang menempatkan 60 unit rumah di tapak berkeluasan tujuh hektar berhampiran penempatan mereka mulai tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata nasib 230 penduduk menghuni di 53 unit rumah kayu yang mula dibina sejak zaman pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad lebih terbela dengan pembinaan kediaman baru yang lebih baik dan selesa nanti.
“Banyak rumah telah rosak kerana dibina sebuah-sebuah menggunakan kayu, jadi demi masa depan mereka kerajaan negeri bersetuju membina 60 unit rumah teres tiga bilik tidur tahun depan kepada semua penghuni di sini.
“Jadi kita ada baki tujuh rumah, sebagai tambahan kemudian kepada yang bekeluarga. Lebih (unit rumah) tidak mengapa ini akan menyenangkan lagi,” katanya di sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 53 ketua keluarga di penempatan itu, sempenaa Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Warisan, Taman Rahmat, Marang, petang kelmarin (11 Julai).
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji A Rahman Che Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Encik Zulkifli Ali dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.
Menteri Besar berkata, projek pembinaan rumah baru itu dibina bersebelahan penempatan sedia ada yang tidak menjejaskan rumah asal dan kehidupan penduduk sementara kediaman baru mereka siap serta boleh digunakan sepenuhnya nanti.
Katanya, projek berkenaan dijangka akan bermula April ini sebaik sahaja bajet keseluruhan dan tender projek dikeluarkan.
Dalam pada itu, Dato’ Seri Haji Ahmad mengingatkan penduduk di situ bahawa kerajaan negeri sentiasa membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang dan taraf kehidupan mereka.
“Pada masa yang sama, saya berharap semua penduduk membalas jasa kerajaan yang sentiasa menyalurkan bantuan dan kemudahan ini dengan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan pada masa depan,” katanya.
Teganukita
No comments:
Post a Comment