Wednesday, July 25, 2012

Sampel Makanan Di Bazaar Ramadan Diambil Untuk Pemeriksaan

Datuk Seri Ahmad Said melawat Bazaar Ramadan di Shahbandar Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mula mengambil sampel makanan yang dijual di 2,900 gerai bazar Ramadan di seluruh bandar ini bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Sampel yang diambil adalah secara rawak dengan tumpuan diberi kepada makanan yang berisiko terdedah kepada pencemaran bakteria, antaranya makanan yang perlu dikendali dengan tangan secara terus, makanan yang menggunakan santan atau makanan yang tidak perlu dimasak seperti kerabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu Dr A Rahman Mokhtar berkata pengambilan sampel makanan itu juga dilakukan secara berjadual di peringkat daerah oleh kakitangan jabatan itu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Bagi setiap daerah, kakitangan kami akan pergi ke setiap bazar Ramadan dan mengambil sampel makanan yang berisiko dicemari bakteria yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

"Sekiranya keputusan dari makmal mengesahkan sampel makanan yang diuji itu telah dicemari bakteria, tindakan tegas akan terus diambil termasuk menghentikan jualan di bazar Ramadan," katanya semalam.

Dr A Rahman turut menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan kepada jabatan sekiranya mengalami keracunan makanan akibat memakan makanan yang dibeli di Bazar Ramadan supaya tindakan wajar boleh diambil terhadap peniaga terbabit.

"Sehingga kini, JKNT belum menerima laporan mengenai kes keracunan makanan dan berharap kes akibat kecuaian peniaga ini dapat diminimakan," katanya.

Sepanjang tahun lepas, tiada kes direkodkan oleh JKNT yang membabitkan aduan orang ramai mengenai keracunan makanan yang dibeli dari bazar Ramadan di seluruh negeri itu.

No comments:

Post a Comment