Penduduk di Taman Jasa di Alor Limbat, mengadu tidak lagi mampu ‘menahan telinga’ terhadap pencemaran bunyi berpunca daripada sebuah rumah burung walit yang terletak di bahagian belakang sebuah rumah penghuni di taman perumahan itu.
Penduduk mendakwa, pengusaha burung walit terbabit membina sebuah rumah burung di bahagian belakang rumahnya sejak setahun lalu sekali gus pencemaran bunyi yang terhasil itu mengganggu ketenangan 10 daripada 40 penghuni di taman berkenaan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Cina Alor Limbat, Ng Kok Tee, 47, ketika menghubungi Sinar Harian, mengakui bahawa sejak kegiatan tersebut dijalankan setahun lalu ia menyebabkan penduduk tinggal dalam keadaan tidak selesa.
Kok Tee yang juga tinggal di taman perumahan itu, berkata, ia berikutan bunyi bising dikeluarkan oleh sistem pembesar suara bagi menarik burung tersebut bersarang malah najis haiwan
itu turut mengeluarkan bau busuk yang meloyakan.
“Bayangkan keadaan penghuni tinggal dekat dengan rumah itu yang terpaksa mendengar bunyi bising ditambah pula dengan bau busuk yang meloyakan. Keadaan itu sudah pasti menimbulkan rasa marah dan rasa tidak puas hati,” katanya semalam.
Sehubungan itu, Kok Tee meminta agar pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuat pemeriksaan agar tindakan lanjut dapat diambil sekali gus masalah pencemaran bunyi dan bau yang meloyakan itu dapat diatasi dengan segera.
No comments:
Post a Comment