Tuesday, July 3, 2012

Terenganu Terima RM8.88J Bagi Projek Naik Taraf Sekolah

Kementerian Pelajaran memperuntuk RM8.88 juta bagi dua projek iaitu penyelenggaraan sekolah serta menaiktaraf surau sekolah di negeri ini pada tahun ini. Peruntukan ini adalah di bawah Projek Transformasi Luar Bandar bagi Pakej Rancangan Khas (PRK).


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata bagi projek penyelenggaraan sekolah, ia melibatkan 49 sekolah dengan kos RM4.9 juta manakala projek penyelenggaraan serta menaiktaraf 51 buah surau sekolah melibatkan RM3.98 juta.

"Majlis hari ini adalah bagi program penyelenggaraan dan ubahsuai/naiktaraf surau sahaja melibatkan 40 buah sekolah dengan peruntukan RM2.488 juta.

"Tiga buah surau di bawah program itu dengan peruntukan RM177,848 masih belum dikeluarkan waran buat masa ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan inden projek transformasi dan naiktaraf surau sekolah luar bandar kepada kontraktor di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kontraktor yang mendapat projek menaiktaraf surau sekolah-sekolah berkenaan supaya menjalankan tanggungjawab menyiapkannya dengan amanah dan sempurna mengikut masa ditetapkan.

"Kita tidak mahu kontraktor yang mendapat projek, membuat kerja sambil lewa sehingga projek yang diserahkan kepada mereka tidak siap atau terabai begitu sahaja sehingga merugikan banyak pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment