Thursday, July 12, 2012

Terengganu Agih Air Zam-Zam, Kurma Sempena Ramadan

Kerajaan Terengganu akan mengagihkan air zam zam dan buah kurma kepada rakyat negeri itu sempena bulan Ramadan tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata pengagihan air zam zam dan buah kurma yang didatangkan khas dari Makkah itu sebagai tanda kesyukuran di atas keamanan yang dinikmati rakyat negeri ini.


 "Setiap tahun apabila tiba bulan Ramadan kita agih-agihkan air zam zam dan buah kurma kepada rakyat terutamanya umat Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Said berkata pengagihan air zam zam dan buah kurma itu dijangka dilakukan pada minggu kedua Ramadan.

Beliau, bagaimanapun tidak menyatakan kuantiti dan jumlah kos yang dikeluarkan kerajaan untuk membeli air zam zam dan buah kurma itu.

Beliau berkata bagi menyemarakkan lagi aktiviti pada bulan mulia itu, kerajaan negeri akan membawa kira-kira 20 imam dari Masjidil Haram, Makkah untuk mengimamkan solat sunat Tarawih di masjid-masjid di negeri ini.

Katanya kumpulan tersebut akan tiba di sini tidak lama lagi dan menjadi kebiasaan bagi kerajaan negeri membawa imam dari masjid berkenaan untuk mengimarahkan masjid pada bulan Ramadan.

"Imam-imam ini akan ditempatkan di masjid-masjid pilihan di sekitar bandar ini," katanya. Ahmad berkata pelancaran Ihya Ramadan akan dilakukan pada 18 Julai ini yang pengisiannya antara lain memasang poster serta ceramah agama.

No comments:

Post a Comment