Monday, July 16, 2012

Terengganu Lakar Hatrik Juara SUKMA, Kuasa Sukan Negara

 

Terengganu Hanelang ternyata mampu melahirkan jaguh lumba basikal, memanah dan olahraga untuk membolehkan ia ditabalkan selaku juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali ketiga berturut-turut, biarpun tirai temasya hanya akan ditutup secara rasmi hari ini.

Walaupun masih ada lapan pingat emas ditawarkan pada hari terakhir hari ini, namun pencabar terdekat mereka, Selangor sudah tidak mampu memintas.

Ini kerana kedua-duanya dipisahkan dengan 14 pingat emas selepas 360 acara dipertandingkan.

Jika dikira dengan kejohanan Mini Sukma yang diadakan di Kuala Lumpur tahun lalu, Terengganu sebenarnya melakar empat kejayaan berturut-turut.


Pingat emas ke 62 diraih malam semalam melalui hoki lelaki apabila Terengganu menewaskan Wilayah Persekutuan untuk membolehkan ia menjadi johan berganda acara hoki apabila pasukan wanitanya turut mengalahkan Wilayah Persekutuan untuk pingat emas pada siangnya.

Selepas muncul juara keseluruhan pada 2008 dan 2010, Terengganu meneruskan keunggulan sebagai kuasa sukan tempatan dengan membolot 62 pingat emas, jauh mengatasi Selangor yang melengkapkan saingan dengan 47 emas.


Tuan rumah pula berada di tempat ketiga dengan 44 emas. Malah, pungutan yang diraih Terengganu juga mengatasi sasaran sebenar mereka, yang sekadar menetapkan misi 47 emas untuk dibawa pulang.

Bagaimana Terengganu mampu menjadi kuasa sukan tempatan yang cukup hebat, ia sesuatu yang harus membuka mata negeri lain apabila menyiapkan atlet masing-masing untuk menghadapi temasya di Perlis, dua tahun dari sekarang.

Bayangkan dalam acara lumba basikal, Terengganu berjaya membolot 12 daripada 18 emas yang ditawarkan, manakala memanah menyumbang sembilan emas dan olahraga dengan lapan emas.

Pencapaian 12 daripada 18 pingat emas yang dipertandingkan dalam acara basikal membuktikan Terengganu adalah kilang paling tepat untuk melahirkan jaguh dalam acara berkenaan dan tidak mustahil anak negeri itu bakal mengharumkan nama negara pada masa depan.

Ternyata, pembangunan sukan terutama acara basikal yang dilakukan Kerajaan Terengganu menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu membuahkan hasil yang cukup lumayan.


Jurulatih Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata, kejayaan memenangi 12 emas itu bukanlah sesuatu yang diduga sebelum ini memandangkan kontinjen lain turut menghantar atlet terbaik masing-masing untuk acara berkenaan.

Menurutnya, saingan sengit diberikan pelumba tuan rumah, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Kedah serta Brunei namun anak buahnya berjaya membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik dalam temasya kali ini.

Pada hari kesembilan semalam, Terengganu unggul menambah lapan pingat emas dengan dua daripadanya daripada acara angkat berat, memanah serta hoki dan satu daripada sepak takraw dan tinju.

Selain itu, Terengganu turut cemerlang dalam sukan angkat berat (enam), taekwondo (empat) dan ekuestrian (tiga).

Kecemerlangan Terengganu pada Sukan Malaysia kali ni cukup mengejutkan kerana acara yang menjadi salah satu penyumbang emas terbesar di Melaka, kanu tidak disenaraikan di Pahang selain dua atletnya menyertai Sukan Olimpik.

Sebagai rekod, pada Sukan Malaysia 2010 Melaka, Terengganu meraih 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa. Ketika menjadi tuan rumah pada Sukan Malaysia 2008, kontinjen yang terkenal dengan maskot penyu itu mendapat 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa, untuk muncul juara buat kali pertama.

Selangor yang kelihatan gagah pada awal temasya terpaksa berpuas hati di tempat kedua, buat kali ketiga berturut-turut.

Kontinjen Merah Kuning itu turut menghuni tempat kedua di Terengganu dengan 54 emas, 47 perak dan 51 gangsa manakala pada dua tahun berikutnya, mereka hanya dibezakan empat emas di belakang Terengganu selepas meraih 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa.

No comments:

Post a Comment