Friday, July 27, 2012

Terengganu Lulus RM1 Juta Bina Dewan Serbaguna Tentera


Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan RM1 juta kepada Batalion ke-18 Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, Kuala Terengganu  bagi membina sebuah dewan serbaguna di kem itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, pembinaan dewan serbaguna itu perlu memandangkan kem itu belum mempunyai sebarang dewan perhimpunan yang agak besar


"Mungkin peruntukan sebanyak RM1 juta itu hanya mampu buat sebuah dewan yang kecil. Tetapi kalau tentera sendiri yang bina, mungkin sebuah dewan serbaguna yang besar mampu dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga batalion itu malam kelmarin.




Turut hadir ialah Pegawai Memeritah batalion itu, Lt Kol Nasharuddin Mohamad dan Panglima Briged ke-8 Datuk Zaki Hamzah.

Dalam ucapannya pada majlis yang sama, Ahmad Said berkata, semua orang sedia maklum bahawa tentera memainkan peranan penting menjaga keamanan negara sejak sekian lama, berjuang bagi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, kakitangan awam di negeri ini diminta supaya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah atau kenderaan masing-masing sempena sambutan bulan kemerdekaan ini bagi memberi contoh yang baik kepada masyarakat.

Menteri Besar berkata, tahap kesedaran rakyat di negara ini termasuk Terengganu untuk mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan bulan kemerdekaan masih lagi rendah.

Beliau berkata, untuk memupuk kesedaran rakyat supaya mengibarkan bendera, kerajaan Pusat telah melancarkan kempen tersebut dan ia juga akan dilaksanakan di negeri ini sehingga 18 September depan.

Sejurus selepas itu, Menteri Besar bersolat Isyak dan Terawih di Masjid Seberang Takir bersama kariah kampung berkenaan.

No comments:

Post a Comment