Monday, July 23, 2012

Terengganu Tambah 10 Peratus Agihan Dana Raya Tahun Ini

 
Kerajaan negeri Terengganu akan menambah 10 peratus bantuan dana raya kepada golongan miskin di negeri itu tahun ini yang dijangka akan diagihkan selewatnya pada minggu ketiga bulan Ramadan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata tambahan 10 peratus daripada hampir RM45 juta yang diperuntukkan tahun lepas itu berikutan terdapat keluarga-keluarga baharu di negeri itu.


"Dana raya ini memang akan dinaikkan 10 peratus setiap tahun dan tahun ini, kita peruntukkan hampir RM50 juta untuk diagih sekitar 150,000 golongan miskin negeri ini," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengagih pembahagian bubur lambuk pada hari pertama puasa kepada warga tempatan di Masjid Abidin di Kuala Terengganu, Khamis.

Ahmad Said berkata jumlah sebenar mereka yang layak menerima bantuan dana raya tahun ini belum diperoleh kerana ia masih dalam proses kemaskini.

Dana Raya antara RM200 dan RM400 satu keluarga diagih setiap tahun kepada golongan miskin seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas serta mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

Sementara itu 2,500 bungkus bubur lambuk dalam empat rasa iaitu perasa udang, ikan, sotong dan daging disediakan untuk dibahagi-bahagi kepada orang ramai bermula 3.30 petang Khamis.

"Hari ini  (Khamis), kami masak 10 periuk yang setiap satunya boleh dihidangkan sebanyak 250 bungkus," katanya.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negeri Aizi Saidi Abdul Aziz berkata Masjid Abidin akan menyediakan bubur itu secara percuma setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini untuk diagih kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment