Tuesday, July 3, 2012

Kerajaan Terengganu Tawar Tanah Dan Tapak Rumah Kepada Bekas Tentera Tidak Berpencen

 "Melalui pertubuhan ini, kerajaan negeri akan memastikan nasib bekas tentera yang pernah berjasa memikul senjata demi mempertahankan kedaulatan Tanah Air terbela menerusi bantuan dan kemudahan di bawah satu pengurusan yang lebih sistematik dan telus...usaha mengesan ahli tentera tidak berpencen sedang giat dilaksanakan bagi memastikan mereka menjadi ahli KVTTB secara sah."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Kerajaan negeri menawarkan tapak rumah atau tanah pertanian kepada bekas tentera yang tidak berpencen dari kalangan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata mereka boleh memohon tanah melalui Pegawai Daerah setempat sekiranya mereka tidak memiliki tapak rumah dan tidak pernah memohon tanah daripada kerajaan.

"Ini (pemberian tapak rumah) memang normal bagi rakyat Terengganu dan mereka berhak untuk dapat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jejak Kasih Pemimpin Bersama Rakyat serta pendaftaran Ahli Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (KVTTB) di Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Pengerusi KVTTB Malaysia, Mohd Sabri Abdul Malik. Ahmad Said berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat masalah bekas tentera yang tidak berpencen dan sebagai buktinya kerajaan negeri komited menawarkan tapak rumah atau tanah pertanian kepada mereka.

Malah, kerajaan negeri turut bersetuju untuk menyalurkan bantuan permulaan sebanyak RM50,000 kepada Koperasi KVTTB bagi membela nasib golongan itu yang pernah berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Ini kali pertama satu pertubuhan koperasi veteran tidak berpencen (di Terengganu). Sebenarnya mereka berkhidmat sehingga 18 tahun. Ada 10..ada 12 tahun.

Untuk membolehkan mereka menerima pencen tentera mereka perlu berkhidmat sehingga 21 tahun.

“Jadi selama ini tiada pertubuhan atau persatuan ditubuhkan untuk membela kebajikan mereka. Alhamdulillah, Komander En Mohd Sabri Abd Malek (Yang Dipertua KVTTB) sudah ditubuhkan di peringkat Pusat dan selepas ini peringkat negeri-negeri, di mana Terengganu adalah negeri ke-13.

Insya-Allah menerusi pertubuhan ini memudahkan kerajaan negeri membantu mereka,” katanya.

Menteri Besar berkata,melalui pertubuhan ini, kerajaan negeri akan memastikan nasib bekas tentera yang pernah berjasa memikul senjata demi mempertahankan kedaulatan Tanah Air terbela menerusi bantuan dan kemudahan di bawah satu pengurusan yang lebih sistematik dan telus.

“Di Terengganu, usaha mengesan ahli tentera tidak berpencen sedang giat dilaksanakan bagi memastikan mereka menjadi ahli KVTTB secara sah sekali gus menambah jumlah ahli sedia ada di seluruh negara,” katanya.

Seramai 200,000 ahli tentera veteran tidak berpencen dikenalpasti di seluruh Malaysia dengan 60,000 daripadanya menyertai KVTTB.

Teganukita & Bernama

No comments:

Post a Comment