Tuesday, July 10, 2012
Ummi Hamimah Sahkan Status Jaguh Pecut
Pelumba pelapis kebangsaan yang mewakili Terengganu, Ummi Hamimah Mohamad terus menghampakan pelumba pasukan elit negara, Jupha Som Net apabila meraih pingat emas kedua menerusi ujian masa 500 meter wanita individu di Temerloh, semalam.
Ummi Hamimah yang mewakili Pahang pada temasya yang sama di Melaka dua tahun lalu mencatat masa 39.642s.
Pingat perak milik pelumba Selangor, Farina Shahwati Mohd. Adnan dengan masa 40.309s. Jupha yang terpaksa akur dengan kepantasan Ummi Hamimah buat kali kedua akur dengan meraih gangsa menerusi catatan 40.407s.
Ummi Hamimah, 18, yang meraih emas dalam acara 200m pecut kelmarin berkata, latihan selama enam bulan di Melbourne, Australia ternyata membuahkan hasil apabila membantunya mencatat masa terbaik.
"Saya sangat berpuas hati dan catatan masa hari ini adalah yang terbaik dalam rekod peribadi saya yang mana sebelum ini hanya 40 dan 41 saat," katanya kepada pemberita semalam.
Mengulas kejayaan kedua mengalahkan Jupha, Umi Hamimah berkata, pelumba pilihan itu mungkin tidak pada tahap sebenar.
Menurutnya, Jupha kurang melakukan latihan di jalan raya kerana acara tersebut sepatutnya berlangsung di dalam velodrom.
"Emas kedua ini adalah bonus bagi saya kerana tidak menjangkakan mampu pingat emas sekali lagi memandangkan acara ini adalah kegemaran Jupha dan tentunya dia akan melakukan kayuhan yang berbaik bagi menebus kekecewaannya semalam (acara pecut 200m)," kata Ummi Hamimah.
Sementara itu, emas dalam acara ujian masa 1 kilometer lelaki dimenangi pelumba Selangor, Malek Marcus Mccrone dengan catatan 1:10.929s menewaskan Muhamad Harif Murlis (1:11.110s) dan gangsa milik pelumba Selangor, Hamdan Hamidun (1:11.368s).
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment