Tuesday, July 10, 2012

Selangor Dahului Pasukan Lain Dengan Kelebihan 7 Emas

Perenang Wilayah Persekutuan Ian James Barr bersorak gembira apabila berjaya mengunguli pingat emas bagi acara 200 meter rampaian individu lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma).

Selangor terus mempamerkan persembahan cemerlang pada hari kesembilan apabila berjaya menuai lima emas, dua perak dan lima gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 semalam.

Secara keseluruhan, Selangor menungguli kedudukan pungutan pingat dengan mengumpul sebanyak 17 pingat emas, 11 perak dan 16 gangsa. Sarawak pula menduduki tangga kedua kutipan pingat dengan 10 emas, tiga perak dan 11 gangsa.


Terengganu merupakan juara edisi SUKMA Melaka 2010 berada di tangga ketiga dengan mengumpul lapan pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Empat daripada lima pingat emas Selangor diperolehi dalam sukan akuatik iaitu melalui atlet Yap Siew Hui dalam acara 50 meter wanita gaya kuak kupu-kupu, Kok Cher Ling (100m wanita gaya bebas), Caroline Chan Zi Xi (200m wanita gaya kuak lentang) dan Lim Ching Hwang (100m lelaki gaya bebas).

Satu lagi emas Selangor diraih melalui atlet berbasikal Malek Marcus Mccrone dalam acara satu kilometer yang berlangsung di daerah Temerloh. Pahang, selaku tuan rumah, menghuni tangga keenam dengan kutipan tujuh emas, lapan perak dan enam gangsa.

Hari ini,  acara olahraga  membuka tirai secara rasmi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pada temasya kali ini, sebanyak 45 pingat emas menjadi rebutan setiap atlet yang bertanding sepanjang empat hari acara olahraga berlangsung.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada barisan atlet Terengganu selain kontinjen Selangor, Sarawak serta tuan rumah, Pahang yang diramal mampu mendominasi acara olahraga.

Hakikat itu turut diakui Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma ke-15, Ahmad Hairi Hussain. “Seperti biasa, setiap kali temasya Sukma berlangsung, acara olahraga pasti menjadi tumpuan, baik dalam kalangan para peserta mahupun penonton yang hadir ke stadium.

“Jadi, saya percaya acara olahraga yang dipertandingkan pada Sukma di Pahang akan turut menjadi tumpuan.

“Dengan jumlah keseluruhan 45 pingat emas yang ditawarkan dalam acara olahraga pada Sukma kali ini, saya yakin ia mampu memberikan impak,” kata Hairi kepada Kosmo! semalam.

Menurut Hairi, sama seperti acara sukan yang lain, olahraga juga diharap mampu melahirkan bakat-bakat baharu, seterusnya digilap menjadi atlet harapan negara pada masa akan datang.

“Selain berharap akan ada atlet- atlet muda yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh, kita juga mahu melihat rekod-rekod baharu Sukma dicipta dalam acara olahraga.

“Saya yakin tidak mustahil rekod lama Sukma bagi acara olahraga dapat dipecahkan kali ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai skuad olahraga Pahang yang bertanding pada temasya kali ini, Hairi berkata: “Pahang akan turun sebagai underdog.

 “Seperti yang kita ketahui, Terengganu, Selangor dan Sarawak memiliki ramai atlet olahraga berbakat.

Jadi, saya harap atlet-atlet Pahang dapat menghadiahkan sesuatu kepada penyokong mereka.

” Dalam pada itu, Hairi berharap warga Pahang khususnya hadir ke venue-venue pertandingan bagi menghangatkan lagi temasya Sukma kali ini.

“Sejak dibuka secara rasmi pada malam Sabtu lalu, saya lihat orang ramai mula membanjiri stadium-stadium untuk memberi sokongan kepada para peserta.

 “Jadi, saya berharap situasi ini akan berterusan sehingga hari terakhir Sukma berlangsung,” katanya.

No comments:

Post a Comment