Monday, July 30, 2012

Ziarah Ramadan Peluang ADUN Kijal Dekati Rakyat

 
Program Ziarah Ramadan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal semalam membantu 110 penerima yang kurang bernasib baik sempena Ramadan ini.

Lima buah kampung dilawati iaitu Kampung Pengkalan Cicar, Kampung Che Wan, Lubuk Lesung, Sungai Mas dan Padang Kubu yang turut disertai Skuad Sayang Wanita UMNO Kemaman dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal berkata, pembahagian sumbangan itu berjaya mendekatkan pemimpin setempat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan rakyat.



“Alhamdulillah banyak pihak mendapat manfaat. Kita dapat bersua muka, bertanya khabar dan mereka lebih mudah untuk bercakap dengan kita bagi memberitahu masalah.

“Bukan sahaja masalah, kejayaan anak-anak mereka turut diberitahu. Anak mereka dapat masuk universiti, ada yang beritahu anak mereka sudah dapat kerja dan kita dapat lihat hasil tanaman mereka,” katanya.

Turut serta isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Ketua Wanita UMNO Kemaman, Senator Rohani Abdullah.

Ziarah Ramadan merupakan sebuah program kebajikan yang memberi bantuan kepada enam golongan iaitu ibu tunggal, warga emas, pesakit kronik, anak yatim, orang kurang upaya dan fakir miskin di sekitar DUN itu.

Dalam program itu, anak yatim diberi ‘duit raya’ manakala yang lain menerima sumbangan beras dan barang dapur selain wang tunai.

 Ahmad Said berkata, penganjuran program itu juga bertujuan membantu kerajaan merealisasikan hasrat untuk mengurangkan kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat setempat.

Teganukita

No comments:

Post a Comment