Saturday, August 18, 2012

1 Shawal Masa Sesuai Tamat Sengketa, Perpecahan - Sultan Terengganu


Setiap perpecahan yang berlaku walaupun atas alasan perjuangan, tidak menguntungkan sesiapa. Malah, sejarah menunjukkan perpecahan menjadi sebab kepada runtuhnya kekuatan umatnya sebagai mana berlaku terhadap beberapa kerajaan Islam sebelum ini....Sejarah ini seolah-olah kembali berulang dan dapat disaksikan di beberapa negara Islam seperti di Syria dan Mesir." - Sultan Mizan Zainal Abidin

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah seluruh umat Islam di negeri ini perlu menilai sejauh mana tahap perpaduan mereka.

Titah baginda, Islam meletakkan perpaduan sebagai asas terpenting yang perlu dipelihara dalam menjaga dan mempertahankan keselamatan serta kemakmuran negeri dan negara.

Justeru, baginda menyeru seluruh umat Islam menjauhkan diri dari persengketaan, perselisihan dan pandangan yang boleh membuka ruang dan peluang kepada musuh Islam mencampuri urusan pentadbiran negara dan memecahbelahkan umat Islam.

“Setiap perpecahan yang berlaku walaupun atas alasan perjuangan, tidak menguntungkan sesiapa. Malah, sejarah menunjukkan perpecahan menjadi sebab kepada runtuhnya kekuatan umatnya sebagai mana berlaku terhadap beberapa kerajaan Islam sebelum ini.

“Sejarah ini seolah-olah kembali berulang dan dapat disaksikan di beberapa negara Islam seperti di Syria dan Mesir,” katanya.

Baginda bertitah demikian dalam titah perutusan sempena Aidilfitri esok yang dikeluarkan Istana Badriah di Kuala Terengganu,  semalam.

Sultan Mizan juga mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya sentiasa mengamalkan sikap saling bermaaf, ziarah menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Menurut baginda amalan itu bukan hanya pada bulan Syawal, tetapi sepanjang masa kerana silaturahim sesama Islam adalah kunci kepada perpaduan ummah.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, akan mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di Kediaman Seri Iman, pada hari raya pertama.

Beliau dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, akan melayan para tetamu yang berkunjung ke kediaman mereka bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

Rakyat jelata,dijemput datang ke Kediaman Seri Iman bagi mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pemimpin nombor satu negeri ini

Sementara pada hari kedua Aidilfitri, Menteri Besar dan isteri akan melayan tetamu pada majlis  Menteri Besar Bersama Perantau di Permai Inn, antara jam 10 pagi hingga 3 petang.

No comments:

Post a Comment