Wednesday, August 1, 2012

17 Negara Sertai Festival Islam Antarabangsa Terengganu

Sebanyak 17 negara akan menyertai Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2012 (TIIAF 2012) yang dijadual bermula 14 September ini selama empat hari, di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Induk TIIAF 2012 Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata sehingga kini 180 penyertaan disahkan dari negara Asean, China, Jepun, India dan Pakistan bagi acara pertandingan khat peringkat antarabangsa.

"Ini tidak termasuk penyertaan penggiat khat tempatan dalam kategori kanvas, kayu dan logam yang dianggarkan sekitar 350 penyertaan.

"Kali ini peserta dan pengunjung bakal menyaksikan kehadiran tetamu istimewa dari Mesir, Syria, Turki, Perancis, Afrika Selatan dan Sepanyol yang akan mempamerkan kehebatan dan kepelbagaian cabang kesenian Islam, termasuk seni muzik di samping keindahan pada seni khat, " katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu.

Wan Ahamad berkata TIIAF 2012 merupakan kesinambungan Program Inspirasi Seni Khat 2011 pada tahun lalu yang menerima sambutan menggalakkan dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata selain seni khat yang menjadi acara teras, pengunjung juga akan dapat menyaksikan keunikan 'Muzikhat' iaitu suatu konsep persembahan muzik yang digubah dan dialun dengan keindahan seni khat.

Wan Ahamad berkata selain itu, 'Batikhat' iaitu pakaian batik bertema seni khat yang diperkenal tahun lepas, akan diperaga secara eksklusif pada festival itu.

"Pihak penganjur iaitu TTI dengan sokongan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu berharap acara itu akan terus berkembang menjadi produk 'signature' bukan hanya untuk TTI dan kerajaan negeri, tetapi untuk negara keseluruhannya.

"Kami harap festival ini akan menjadi satu lagi produk pelancongan negeri seiring dengan acara-acara Piala Monsun, sukan berkuda dan '4X4 Challenge' yang telah berjaya ke persada antarabangsa," katanya.

Wan Ahamad berkata orang ramai dari luar Terengganu turut dialu-alu mengunjungi festival itu dan mengambil peluang mempelajari serta menghayati kepelbagaian seni dalam Islam.

No comments:

Post a Comment