Wednesday, August 1, 2012

Aktiviti Pengambilan Dadah Di Jeti Perikanan Dungun Terbongkar


Tindakan sekumpulan penagih bermaharajalela di jeti perikanan tanpa mempedulikan kehadiran orang awam berakhir apabila port mereka diserbu polis, dekat Dungun,  pagi semalam.

Operasi besar-besaran oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bersama anggota cawangan lain bermula jam 9 pagi itu berjaya membongkar aktiviti pengambilan dadah yang dikatakan mulai berleluasa di sebalik bot nelayan yang berlabuh dan timbunan pukat di jeti pendaratan.

Bagaimanapun, usaha pihak polis untuk menangkap penagih terpaksa berhadapan ujian getir apabila beberapa suspek yang menjadi sasaran dalam operasi terbabit bertindak terjun ke dalam air sebaik menyedari kehadiran polis.

Sebahagian daripada mereka yang terjun ke dalam air dikatakan bersembunyi di sebalik tiang konkrit jeti sehingga menyukarkan usaha polis untuk menahan mereka.

Beberapa anggota polis bagaimanapun turut terjun ke air bagi menangkap suspek sebelum dibawa naik ke jeti dengan bantuan bot polis.

Akhirnya, operasi diketuai Inspektor Wahid Sujani selama hampir dua jam itu, 19 penagih berjaya ditahan termasuk empat daripadanya penagih veteran yang sudah melangkaui usia lebih separuh abad.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment