Thursday, August 2, 2012

Ahmad Said - Terima Kasih PM Kerana Projek ECRR

 
"Perancangan awal projek hanya membabitkan jarak 109 kilometer dari Kuantan ke Kertih, namun saya merayu supaya kerajaan pusat menyambung projek itu terus ke Dungun berhampiran Bukit Besi sepanjang 35 kilometer dan ia dipersetujui...projek Laluan Rel Pantai Timur fasa pertama itu bertujuan membawa penumpang dan juga kargo terutama untuk Pelabuhan Kuantan dan Kemaman."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Menteri Besar Terengganu  mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membolehkan fasa pertama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) yang sebelum ini dirancang dari Kuantan ke Kertih kini disambung ke Bukit Besi, Dungun.

Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu dipersetujui kerajaan pusat pada mesyuarat Majlis Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Laporan Teganuku semalam mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur.
 Menurut kenyataan Najib, yang juga Pengerusi ECERDC semalam, projek ini akan mempunyai kesan yang signifikan dari segi meningkatkan kesalinghubungan antara ECER dan pantai barat Semenanjung Malaysia dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan di Wilayah ini.

Fasa 1 ECRR akan membantu memperbaiki rangkaian hubungan antara pelbagai kawasan perindustrian di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), seperti Taman Halal Gambang, Taman Pembaikan Bot dan Pangkalan Bekalan Kemaman, Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng, Taman Automotif Pekan, Kelompok Industri Minyak Sawit, dengan Pelabuhan Kuantan, sekaligus membantu meningkatkan daya saing pelabuhan tersebut.

"Sistem rel yang dicadangkan untuk wilayah Pantai Timur ini juga berupaya merangsang pelaburan di ECER kerana pelabur dapat mengurangkan kos perniagaan melalui penggunaan mod pengangkutan yang lebih efektif dari segi kos dan kecekapan, yang juga bersifat mesra alam sekitar," kata Perdana Menteri semalam.

Menurut Ahmad Said: "Perancangan awal projek hanya membabitkan jarak 109 kilometer dari Kuantan ke Kertih, namun saya merayu supaya kerajaan pusat menyambung projek itu terus ke Dungun berhampiran Bukit Besi sepanjang 35 kilometer dan ia dipersetujui.

"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat, khususnya Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Pengerusi ECERDC kerana menyambung pembinaan rel itu hingga ke Bukit Besi," katanya.
 
Beliau menyatakannya kepada pemberita, di Kuala Terengganu selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Ahmad Said berkata projek Laluan Rel Pantai Timur fasa pertama itu bertujuan membawa penumpang dan juga kargo terutama untuk Pelabuhan Kuantan dan Kemaman.

Pembinaan rel itu dijadual bermula tahun depan dan dijangka siap pada 2016, katanya.

Beliau berkata pembinaan landasan kereta api itu merupakan yang pertama di Terengganu, membolehkan bijih besi di situ dibawa ke kawasan perindustrian Teluk Kalong di Kemaman.

Pada keseluruhannya projek rel berkenaan melibatkan laluan sepanjang 600 kilometer yang dirancang menghubungkan Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan melalui Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Baharu.

No comments:

Post a Comment