Pengendali Terengganu, Peter James Butler puas dengan prestasi cemerlang yang dipamer anak-anak buahnya ketika menjinakkan musuh berjiran, Kelantan 2-0 dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia kelmarin.
Tegas Butler, kemenangan pertama ke atas lawan yang dianggap paling kuat dalam Kumpulan A amat penting, apatah lagi mereka diletak dalam kumpulan maut.
Menurut jurulatih kelahiran England itu, kemenangan tersebut menjadi suntikan moral yang diperlukan oleh skuad Penyu sebelum berdepan satu lagi tugas getir menentang juara baru Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tempat lawan, hari ini.
Biarpun gembira dengan kemenangan itu, Butler bagaimanapun enggan mendabik dada sebaliknya tetap menghormati semua lawan yang bakal ditentang kerana baginya, saingan untuk merebut tempat terbaik dalam Piala Malaysia baru sahaja bermula.
"Saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain malam ini (kelmarin) dan yakin mereka mampu mengekalkan prestasi dalam perlawanan-perlawanan seterusnya nanti.
"Saya tidak mahu menamakan pemain terbaik saya malam ini kerana hampir semua pemain beraksi cemerlang, terutama Doe (Francis Forkey Doe) yang berjaya membuktikan kualiti yang dimilikinya sebagai penyerang," kata Butler.
Menyentuh mengenai beberapa pemain yang masih dibelenggu kecederaan, bekas pengendali Kelantan itu berkata, dia terpaksa akur dengan masalah tersebut, namun pada masa yang sama percaya masih ada ramai pemain muda di bangku simpanan yang boleh diturunkan.
"Apa yang penting, kita tak akan main defensif dalam Piala Malaysia sebab kita punyai ramai pemain penyerang yang hebat seperti Ismail (Faruqi), Ashaari (Samsudin), Doe dan Hadi (Abdul Hadi Yahaya)," katanya lagi.
Tampil dengan aksi yang kemas dan tersusun sepanjang 90 minit perlawanan, skuad Penyu dilihat langsung tidak memberi ruang kepada The Red Warriors untuk menembusi kubu mereka khususnya sepanjang 30 minit pertama perlawanan.
Dibantu dengan sorakan padu lebih 10,000 penyokong setia tuan rumah, kegarangan Penyu terbukti seawal minit ketiga selepas penyerang import, Doe bijak menanduk tendangan percuma luar kotak penalti oleh Ismail Faruqi untuk gol pertama Terengganu.
Malang berganda buat pasukan pelawat apabila tonggak pertahanan mereka, Daudsu Jamaluddin dibuang padang pada minit ke-67 selepas menerima kad kuning kedua sebelum Ismail Faruqi melengkapkan derita Kelantan dengan gol kedua seminit sebelum tamat perlawanan.
No comments:
Post a Comment