Tuesday, August 28, 2012

DUN Seberang Takir Kawasan Lahirkan Jaguh Sukan Negara

Ahmad Said (lima dari kiri) beramah mesra dengan atlet yang mewakili Terengganu pada Sukma ke-15 sambil diperhatikan oleh Ahmad Razif Abdul Rahman (empat dari kanan) pada majlis Aidilfitri DUN Seberang Takir, Terengganu, kelmarin.
Kerajaan negeri bercadang menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir sebagai pusat melahirkan jaguh sukan negara dalam acara angkat berat, lawan pedang dan kayak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, buat masa ini, DUN berkenaan telah dianggap sebagai pusat sukan angkat berat di negeri ini.

Beliau yang juga ADUN Seberang Takir berkata, ini berdasarkan pencapaian jaguh angkat berat kelahiran kawasan itu, Abdul Mubin Rahim yang meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuantan tempoh hari.

"Malah Abdul Mubin turut diumumkan sebagai olahragawan Sukma ke-15 di Pahang bulan lalu," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri DUN Seberang Takir kelmarin.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Pada majlis itu, seramai 13 atlet dari DUN berkenaan yang berjaya meraih pingat pada Sukma di Kuantan dan seorang atlet yang mewakili negara ke Sukan Olimpik di London turut diraikan.

Selain itu, Ahmad Razif memberitahu, beliau juga Pengerusi Persatuan Lawan Pedang Terengganu memberi jaminan untuk mempopularkan sukan lawan pedang di peringkat DUN Seberang Takir.

Beliau menjelaskan, bagi tujuan itu, persiapan sedang dilakukan dengan menempatkan aktiviti sukan berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri.

"Kita berusaha meningkatkan acara lawan pedang, begitu juga sukan berkayak, aktiviti ini akan berpusat di Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment