Sunday, August 26, 2012

Enam Laluan Maut Di Terengganu Dikenal Pasti - Polis

Gambar Hiasan...kecelakaan di jalan raya mungkin boleh dielakkan jika pengguna sentiasa berhati-hati selain mengutamakan keselamatan.
Pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke destinasi masing-masing selepas bercuti sempena Aidilfitri, diingatkan sentiasa berhati-hati memandangkan enam lokasi jalan utama di daerah ini dikenal pasti sebagai laluan maut.

Dua laluan iaitu Jerangau-Jabor dan Kuala Terengganu-Kuantan merupakan pilihan utama pengguna jalan raya sempena musim cuti perayaan ini.

Sehingga kini, lebih 30 nyawa melayang akibat kemalangan di laluan terbabit dalam tempoh lapan bulan, malah pada Julai tahun ini sahaja, tiga kematian dicatatkan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, di laluan Kuala Terengganu-Kuantan, kawasan kerap berlaku kemalangan ialah di Kilometer (KM) 61 berdekatan Rantau Abang, KM69 di Kuala Abang, KM74-89 di Bukit Bauk serta KM91-102 di bandar Paka.

Beliau berkata, lokasi seterusnya ialah KM58 di Felda Jerangau, KM75 Kampung Dendang, KM77-89 di Bukit Besi serta KM95-108 ladang Gajah Mati berdekatan Al Muktafi Billah Shah.

“Jumlah kenderaan pastinya meningkat berkali ganda susulan ramai perantau pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Aidilfitri kali ini.

“Polis trafik akan membuat pemantauan dan meningkatkan rondaan di kedua-dua lokasi ini bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negeri, Senior Assistan Komisioner Datuk Jamshah Mustapa berkata, keadaan jalan raya yang agak sesak berikutan pertambahan jumlah kenderaan pada musim perayaan ini akan menyebabkan pemandu hilang pertimbangan sehingga sanggup melanggar peraturan lalu lintas.

“Kita harap semua pengguna jalan raya dapat bersabar serta utamakan keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment