Taman Kuang Adil turut ditutup. |
Enam zoo terbabit adalah seperti berikut:
1) Lye Huat Garden, Kedah
2) Taman Burung Kuala Krai, Kelantan
3) Countryview Recreation, Pahang
4) PD Mini Zoo, Negeri Sembilan
5) Taman Kuang, Ajil, Terengganu, dan
6) Mines Wonderland, Selangor.
Tindakan ini diambil berikutan ketidakpatuhan zoo-zoo tersebut terhadap penilaian pematuhan Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) 2012 yang telah dijalankan terhadap 45 buah premis yang menempatkan hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Daripada jumlah tersebut, 15 buah premis adalah di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Tempatan, manakala 30 buah premis selebihnya adalah milik persendirian, swasta dan persatuan. Justeru, berdasarkan saringan awal pematuhan yang telah dibuat, sejumlah enam (6) premis zoo telah berhenti operasi dan ditutup.
Kesemua spesies hidupan liar di premis berkenaan telah dan akan diambil untuk dilepaskan semula ke dalam habitat semulajadi selepas proses rehabilitasi (bagi spesies tempatan) atau diserah kepada zoo tempatan yang diberi permit.
Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) 2012 yang telah dilaksanakan menetapkan beberapa kriteria penting dalam memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan hidupan liar dalam kurungan adalah terjamin.
Antaranya yang utama ialah keperluan untuk menyediakan kurungan yang bersesuaian untuk setiap spesies hidupan liar mengikut saiz yang ditetapkan; menyediakan khidmat veterinar; mengadakan kawasan kuarantin; memberikan makanan dan minuman yang mempunyai kandungan nutrien yang baik dan diberi dalam kuantiti yang mencukupi serta penjagaan kesihatan setiap spesies hidupan liar yang disimpan. Proses saringan terhadap premis zoo lain masih terus dilaksanakan dengan komprehensif dan berkala.
Pihak pengusaha zoo perlu mengambil perhatian serius akan keperluan pematuhan di bawah Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) 2012.
No comments:
Post a Comment