Monday, August 27, 2012

Jangan Anianya Pengguna Dengan Harga Makanan Tidak Munasabah – Dr A Rahman

Dr A Rahman (kiri) ketika melakukan tinjauan di sebuah restoran dalam operasi tinjauan harga, semalam.
Bertindak terus!

Tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar kerana menjalankan operasi tanda harga pada makanan selepas menerima aduan semalam.

Menurut Dr A Rahman, terdapat dua aduan diterima, pertama seperti disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 26 Ogos lalu, dan aduan seorang pengguna yang terus berhubung dengan PPDNKK.

Antara yang menyertai operasi itu ialah beberapa pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (PPDNKK).

Dr A Rahman menjalankan operasi termasuk ke salah sebuah restoran yang terletak di Jalan Air Jernih yang dikenal pasti menjual roti canai kosong dengan harga yang mahal iaitu RM1.80 sekeping.

Exco kerajaan negeri itu  menegaskan, kerajaan negeri sentiasa memantau dan menetapkan harga agar berpatutan.

Berikutan itu, peniaga terutama pengusaha restoran dinasihatkan supaya meletakkan tanda harga makanan dengan tepat supaya tidak mengelirukan pengguna.

Beliau berkata, aspek berkenaan perlu dititik beratkan supaya pengguna tidak teraniaya dengan harga makanan yang tidak munasabah.

Sekiranya makanan yang dijual mempunyai pelbagai jenis seperti kuantitinya lebih banyak atau besar, harganya juga perlu diletakkan pada papan tanda harga supaya senang pelanggan membuat keputusan untuk membeli.

“Begitu juga sebaliknya, kita harap persepsi pengguna terhadap peniaga yang suka mengambil kesempatan tidak berlaku kerana mereka mempunyai maklumat yang lengkap mengenai harga sebenar makanan yang mereka ingin beli,” katanya

“Berdasarkan jawapan pengusaha restoran itu, dia memaklumkan restorannya mempunyai dua harga bagi roti canai kosong kerana terdapat dua jenis roti canai iaitu RM1.80 bagi roti canai besar dan RM1.40 bagi yang kecil sedikit.

“Mereka mula mencuba harga baru itu dalam bulan Ramadan lalu, namun masih belum menukar pada papan tanda harga yang terdapat di dalam restoran. Mungkin ini punca kepada salah faham antara pembeli dan peniaga,” katanya
 
Dr A Rahman mengakui harga makanan di negeri ini mahal seperti yang diadukan pengunjung luar. Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga makanan mahal di Terengganu berbanding di negeri lain.

“Dari segi kedudukan, Terengganu lebih jauh dengan Kuala Lumpur malah Terengganu terkenal aktiviti pelancongan.

Secara umumnya, kawasan yang terlibat dengan aktiviti ini harga makanannya mahal sedikit.

 “Begitu juga dengan harga ikan, agak mahal sedangkan kita pengeluar ikan, tetapi perlu faham bahawa terlalu banyak permintaan terhadap ikan untuk perusahaan keropok, misalnya. Apabila permintaan tinggi, harganya menjadi mahal,” katanya.

Sumber - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment