Wednesday, August 22, 2012

JHEAT Terima 58 Permohonan Sijil Halal Dalam Tempoh 5 Bulan

Sebanyak 58 permohonan sijil pengesahan halal pelbagai kategori diterima Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sejak sistem permohonan secara online diperkenalkan mulai 1 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 38 permohonan adalah bagi kategori produk makanan dan minuman kesihatan, 17 permohonan premis makanan, dua bagi permohonan bagi rumah sembelih dan satu bagi kategori produk pelbagai guna.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh berkata tujuh permohonan ditolak sebelum proses audit kerana borang permohonan yang tidak cukup maklumat dan beberapa masalah teknikal berkaitan borang permohonan.
"Secara keseluruhannya, tahap kesedaran mengenai kepentingan sijil halal ini semakin meningkat terutama dalam kalangan bukan Islam.

"Namun, tidak banyak permohonan yang JHEAT terima dari premis makanan yang diusahakan orang Islam, mungkin kerana mereka masih berada dalam 'zon selesa' beranggapan perkara itu tidak begitu penting," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Rozali berkata pengusaha premis makanan Islam sepatutnya lebih prihatin mengenai sijil halal bagi memastikan bahan ramuan yang digunakan halal.

"Mungkin pada masa sekarang, pelanggan masih tidak begitu kisah tentang sijil halal di premis makanan milik orang Islam, namun kita tidak pasti sampai bila situasi itu kekal. Saya nasihatkan supaya pengusaha premis makanan Islam agar memohon sijil halal untuk mengelakkan rasa was-was dalam kalangan pengguna," katanya.

No comments:

Post a Comment