Wednesday, August 22, 2012

SUKMA - Terengganu Guna Pakar Akademik Rancang Program Latihan


Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan menggunakan khidmat tenaga akademik tempatan bagi menyediakan pelan periodisasi latihan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2013 dan 2014.

Mini SUKMA 2013 akan diadakan di Kuala Lumpur sementara SUKMA 2014 akan dihoskan oleh Perlis.

Pengarah MSNT Zainal Abidin Hussin berkata bagi mencapai matlamat itu, pihaknya telah menganjurkan bengkel penyediaan pelan periodisasi latihan selama tiga hari di Stadium Tertutup Gong Badak minggu lepas.

Katanya bengkel tersebut dihadiri oleh tiga pensyarah kanan iaitu Prof Madya Dr Khairi Nawi (Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof Madya Dr Mohd Razali Abdullah (Universiti Malaysia Sabah) dan Dr Kee Kang Mea daripada Universiti Teknologi Mara.

Bercakap di Kuala Terengganu, semalam, Zainal berkata matlamat bengel tersebut adalah bagi membantu MSNT menyediakan pelan induk latihan bagi atlet negeri menghadapi temasya SUKMA.

Periodisasi adalah proses pembahagian pelan latihan tahunan kepada beberapa fasa latihan. Ia bertujuan antara lain meramalkan hasil atau pencapaian matlamat, garis panduan bagi menentukan pencapaian puncak semasa pertandingan sebenar serta membantu jurulatih dan alet menjalani latihan dengan lebih teratur dan bersistematik.

"Bengkel ini diadakan lebih awal bagi memastikan kita meneruskan dan mengulangi kecemerlangan dalam temasya SUKMA tersebut," katanya.

Kontinjen Terengganu menjadi juara SUKMA empat kali berturut-turut iaitu mulai SUKMA Terengganu (2008), Melaka 2010, Mini Sukma Kuala Lumpur 2011 (2011) dan terbaru, SUKMA Pahang 2012, Julai lepas.

No comments:

Post a Comment