Saturday, August 18, 2012

Jualan Ikan Air Tawar Mencecah RM60,000 Di Pasar Tani Seluruh Terengganu


Jualan ikan air tawar di pasar-pasar tani di seluruh Terengganu yang diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mencecah RM760,000 sejak Januari hingga akhir Julai lepas.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata Pasar Tani Padang Hiliran Kuala Terengganu menyumbang jualan tertinggi sebanyak RM420,000 dalam tempoh tujuh bulan tersebut. "Jualan bulanan ikan air tawar di Pasar Tani Padang Hiliran dicatatkan lebih RM60,000 sebulan.

Angka ini dijangka terus meningkat pada bulan ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.


Menurut Hasan, sambutan orang ramai terhadap ikan air tawar di negeri ini begitu menggalakkan sejak kebelakangan ini walau pun suatu ketika dulu rakyat negeri itu dilihat lebih cenderung meminati juadah ikan air masin.

Beliau berkata peralihan orang ramai di Terengganu daripada ikan laut kepada ikan air tawar mungkin disebabkan antaranya kempen-kempen makan ikan air tawar diadakan oleh Fama.

Ikan air tawar yang dikatakan ada hubung kait dengan kesihatan itu juga mungkin menjadi salah satu lagi sebab mengapa ia mendapat sambutan sejak mutakhir ini, katanya.

Dari segi harga, katanya harga ikan air tawar adalah lebih tinggi berbanding sesetengah harga ikan air masin seperti contohnya ikan baung sungai atau pun ikan haruan yang harganya mencecah lebih RM18 sekg di pasaran

"Di Pasar Tani Padang Hiliran, jumlah peniaga yang menjual ikan air tawar telah meningkat kepada 12 orang berbanding lima atau enam orang sahaja sebelum ini," katanya.

Katanya peniaga-peniaga ikan air tawar di Pasar Tani Padang Hiliran itu sesetengahnya datang dari luar daerah Kuala Terengganu untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

Ikan yang mendapat permintaan pembeli ialah haruan, belut, baung, ikan tilapia serta patin yang merupakan ikan yang paling digemari dan mendapat sambutan di kalangan peminat-peminat ikan air tawar di Kuala Terengganu.

Beliau berkata, bergantung kepada jenisnya, semua jenis ikan air tawar boleh didapati di Pasar Tani Padang Hiliran pada harga serendah RM7 hingga RM18 sekg.

Hasan berkata jualan ikan air tawar terbaik di Malaysia juga dicatatkan di Pasar Tani Padang Hiliran di mana keistimewaan pasar tani tersebut adalah menjual ikan liar, yang ditangkap dari Sungai Terengganu selain turut diternak secara dalam sangkar sungai mahu pun di kolam persendirian.

Sementara itu bagi seorang penjual ikan air tawar di Pasar Tani Padang Hiliran, Aminah Ali, 45, berkata selain menjual ikan air tawar, beliau juga menjual ikan-ikan sungai sebagai perhiasan dan sambutannya amat menggalakkan.

Bagi penggemar ikan air tawar, Ali Embong, 35, yang merupakan kakitangan sebuah syarikat swasta di sini pula, berkata beliau gemar memakan ikan air tawar terutamnya belut kerana isinya manis. "Kita akui ikan air tawar sukar sedikit hendak dicari berbanding ikan laut.

Selain isinya sedap, ia juga dikatakan mempunyai nilai khasiat yang tersendiri," katanya.

1 comment: