Saturday, August 18, 2012

Prestasi T-Team Dilihat Meningkat - Yunus Alif

Prestasi pasukan T-Team dilihat semakin meningkat berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan sepanjang minggu lepas menjelang saingan Piala Malaysia pada bulan ini.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata anak buahnya kini dilihat mempamerkan semangat dan disiplin yang tinggi dengan mampu mengikat juara Liga Super Kelantan 1-1 pada perlawanan persahabatan di Kota Baharu, dua hari lepas.

"Ya, kita akui memang ada beberapa peningkatan dalam corak permainan berbanding persembahan mereka (pemain) pada saingan Liga Super dan Piala FA," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Malah Yunus berkata, apa yang membanggakannya adalah tiga pemain pinjaman turut menunjukkan persefahaman dan keserasian dengan pemain sedia ada walaupun baru seminggu mereka bersama pemain skuad Penyu Muda.

T-Team meminjam dua pemain pertahanan dari Sabah iaitu Sumerdi Hajalan dan Sharul Azhar Ture manakala seorang penyerang Fauzi Majid dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

No comments:

Post a Comment