Saturday, August 18, 2012

Judi buah Dadu Bulan Ramadan - Tiga Sekawan Kena Cekup

Tindakan berani tiga sekawan yang mencemari kesucian bulan Ramadan dengan bermain judi buah dadu di tempat awam menerima padah setelah mereka ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bagaimanapun, hanya Wan Mohd Shah Wan Muda, 53, yang bekerja sendiri mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda RM2,500 atau gagal bayar dua bulan penjara manakala dua lagi rakannya, Mohd Rojek, 58, seorang pesara kerajaan dan Md Zulkaria Imah, 40, penjual ikan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka didakwa bermain judi buah dadu dengan bertaruh tunai di tempat awam di bawah pokok di tepi jalan besar Jalan Masjid Abidin, petang kelmarin iaitu kira-kira jam 1.30 petang.


Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (A 755) dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala ketiga-tiga mereka tidak diwakili peguam bela.

Abdul Hayyi seterusnya menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi dua daripada mereka yang mengaku tidak bersalah iaitu Mohd Rojek dan Md Zulkaria Imah.

Kedua-dua mereka dibenarkan dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, daripada maklumat awam, sekumpulan anggota polis telah pergi ke lokasi dan mendapati tiga orang lelaki Melayu (ketiga-tiga tertuduh) duduk bersila atas lantai di bawah pokok sedang bermain judi.

Polis telah merampas sekeping papan kayu berwarna putih mengandungi enam petak segi empat dan setiap petak dicetak dengan angka 1, 2, 3, 4, 5, 6; satu mangkuk kecil berwarna coklat; satu mangkuk kecil berwarna putih dan tunai berjumlah RM1,056

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment