Saturday, August 18, 2012

SRS Perlu Pertingkat Rondaan Memerangi Jenayah

Golongan miskin menerima sumbangan barangan keperluan dapur daripada Tukimin sempena Majlis Ikatan Padu Perpaduan yang diadakan di Kampung Fikri, Chukai.
Sebanyak 225 Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negeri ini diharap dapat meningkatkan rondaan di kawasan kampung dan taman perumahan masing-masing pada musim perayaan ini, seterusnya dapat bersama polis memerangi jenayah.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Terengganu (JPNIN), Tukimin Sarlan berkata, sejak kewujudan SRS pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada polis sehingga kini.

“Kita SRS tingkatkan lagi rondaan dan kawalan. Setakat ini kita mempunyai sebanyak 360 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan daripada jumlah itu sebanyak 225 KRT yang jalankan SRS.

“Kita yakin bilangan KRT yang menjalankan SRS akan meningkat dari masa ke masa seterusnya membantu pihak berkuasa memerangi jenayah termasuk setiap kali pada musim perayaan,” katanya ketika hadir pada Majlis Ikatan Padu Perpaduan sempena sambutan Ramadan al-Mubarak peringkat daerah Kemaman 2012 anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Kemaman dan KRT Kampung Fikri di Kampung Fikri, Cukai kelmarin.

Seramai 30 golongan miskin, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Tukimin merayu golongan muda agar turut sama tampil menjadi peronda SRS apatah lagi mereka juga akan dilindungi insurans 24 jam.

Sementara itu, katanya, JPNIN merancang untuk mengadakan majlis sambutan hari raya di setiap daerah di mana untuk di Kemaman dijangka diadakan pada minggu ketiga Syawal.

No comments:

Post a Comment