Wednesday, August 15, 2012

Kastam Rampas Mercun Bernilai RM25,000 Di Kerandang

Abdullah Zawawi menunjukkan sebahagian daripada mercun dan bunga api yang berjaya dirampas JKDM Terengganu dalam satu serbuan di di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jertih.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya merampas 220 kilogram mercun dan bunga api bernilai RM5,000 beserta sebuah Isuzu Trooper yang bernilai RM25,000 dalam satu serbuan di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jertih pada 8 Ogos lalu.

Pengarah JKDM Negeri, Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan yang diketuai Pegawai Kastam Kanan Ahsan Sulahadi Mat Husin.

Menurutnya, kejayaan itu dicapai setelah pihak kastam membuat intipan selama empat jam, sebelum dapat mengesan pergerakan Isuzu Trooper yang sarat dengan muatan mercun dan bunga api, kira-kira jam lapan malam.


“Pasukan kastam mengekori kenderaan pacuan empat roda itu dan berjaya menahannya pada jam 8.30 malam. Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 10 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenama.

“Kita percaya bekalan mercun dan bunga api ini diperoleh dari Thailand. Seorang lelaki berumur 27 tahun dan berasal dari Besut, telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Jalan Panji Alam di Kuala Terengganu,  semalam.

Katanya, rampasan itu merupakan kali kedua dan terbesar bagi tahun ini, selepas rampasan pertama pada awal Ogos lalu, yang mana JKDM negeri telah berjaya merampas 10 kilogram mercun dan bunga api dari sebuah rumah di Kampung Gong Tiong, Keluang, Besut.

Abdullah Zawawi turut mengingatkan agar orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti pengedaran, penjualan dan memiliki atau bermain mercun atau bunga api kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya harap orang ramai dapat bekerjasama dengan pihak kastam dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti penyeludupan serta penyelewengan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Terengganu melalui talian 09-6228477 atau 09-6204073 atau talian bebas tol 1800-88-8855.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan bayaran saguhati akan diberikan kepada pemberi maklumat yang berjaya menghasilkan kes,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment