Wednesday, August 15, 2012

Transformasi Pendidikan Hebat Rancak Berjalan Di Terengganu

 

Transformasi pendidikan hebat sedang berlaku di negeri ini apabila 6,000 pelajar berjaya menempatkan diri ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam dan luar negara bagi program pengajian peringkat ijazah tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata jumlah ini menunjukkan peningkatan yang mendadak dan di luar jangkaan.

“Mereka ini akan memulakan pendaftaran masuk ke IPTA dalam negeri pada September ini,” katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Program Kecemerlangan UPSR, PMR, SPM dan STPM 2012, Gerakan Merealisasikan 201052 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam (14 Ogos).

Katanya, tahun lalu jumlah pelajar yang berjaya ke IPTA sekitar 4,000 orang sahaja tetapi tahun ini peningkatannya begitu mendadak.

“Memandangkan mereka akan mula mendaftar masuk pada bulan depan, kita akan mengadakan majlis pengagihan wang pendahuluan ke IPTA sebanyak RM1,000 seorang selepas hari raya nanti,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri dijangka membelanjakan kira-kira RM6 juta bagi tujuan berkenaan dan termasuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara turut menerima pengagihan itu.

Menurutnya, kerajaan amat berbangga dengan kecemerlangan anak-anak tempatan dan berharap semua pelajar lepasan SPM di negeri ini dapat masuk ke universiti.

Sementara itu Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri memperuntukan RM663,000 untuk menyediakan bahan-bahan berbentuk digital iaitu cakera padat untuk disimpan ke dalam e-Book yang mengandungi semua soalan-soalan yang telah disemak oleh guru-guru Akram Kerja Rajin dan Mulia (Akram) di pejabat pelajaran negeri.

“Untuk merealisasikan program ini kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 juta bagi membolehkan jabatan pelajaran melaksanakan pelbagai program intervensi menjelang peperiksaan,”

Menurut beliau, setiap peperiksaan membabitkan kos antara RM100,000 hingga RM200,000.

“Program gerakan merealisasikan 201052 merupakan antara usaha kerajaan ke arah mengekalkan kejuaraan tahun ke 12, pencapaian UPSR dimana peperiksaan penting itu hanya tinggal 28 hari lagi,” katanya.

Katanya, jabatan juga akan mengadakan Akademik 20 10 5 2 selama tiga hari dua malam untuk sasaran strait A dan pengedaran kain rentang untuk memberi motivasi dan kesedaran masyarakat agar mengambil bahagian untuk kecemerlangan pelajar yang akan mengambil peperiksaan.

Selain itu, program keterbilangan bersama pemimpin melibatkan semua Exco kerajaan negeri khusus untuk pelajar yang mendapat strait A dalam peperiksaan percubaan PMR, SPM dan STPM akan terbabit dalam program dua hari satu malam itu.

“Satu lagi program ‘gerakan kecemasan’ melibatkan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan mengadakan solat hajat serentak dan juga khutbah Jumaat sebagai usaha terakhir untuk anak-anak kita yang akan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Katanya, melihatkan komitmen padu yang ditunjukan jabatan, guru, ibu bapa, PIBG dan pelajar , yakin mampu mengekalkan kecemerlangan tahun ini

Teganukita

No comments:

Post a Comment