Wednesday, August 15, 2012

Kebakaran - Bomba Lancar Program Komuniti Tingkat Kesedaran

 Sebanyak 15 kes kebakaran rumah dilaporkan berlaku di seluruh Terengganu dalam tempoh 24 hari umat Islam berpuasa.

Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Mohd Redzuan Mohd Hasan berkata kebanyakan kes berpunca daripada kecuaian manusia, penggunaan barangan elektrik yang tidak selamat dan kelemahan sistem pendawaian elektrik.

Sehubungan itu katanya, jabatan tersebut sedang giat menjalankan program komuniti bagi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aspek keselamatan sama ada di pusat beli-belah, pejabat kerajaan serta premis perniagaan.

"Kadang-kadang kita terlalu memandang remeh perkara kecil antaranya menggunakan perlatan elektrik yang tidak selamat dan cuai ketika menggunakannya," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Katanya kebanyakan kes kebakaran sepanjang Ramadan ini menyebabkan kemusnahan teruk disebabkan faktor cuaca yang panas kering di Terengganu.

“Masyarakat perlu peka dan sentiasa berwaspada mengenai punca-punca yang boleh mengakibatkan kebakaran, jika kebakaran sudah berlaku kita hanya mampu melihat sisa-sisa harta saja.

“Jangan memandang remeh mengenainya kerana api yang marak boleh membakar setiap kediaman dalam tempoh lima hingga sepuluh minit saja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Kepada Lima Pasukan Keselamatan Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis yang disempurnakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi)yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud itu, sebanyak 3,340 bungkusan biskut raya diserahkan pasukan keselamatan sebagai penghormatan dan tanda terima kasih.

Mohd Redzuan memberitahu pihaknya kini giat menjalankan program-program komuniti bagi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aspek keselamtan sama ada di pusat membeli-belah, pejabat kerajaan serta premis-premis perniagaan.

“Langkah itu sangat penting memandangkan kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada kecuaian manusia itu sendiri serta sikap mengambil ringan aspek-aspek pencegahan dan keselamatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment