Wednesday, August 15, 2012

Terengganu Wujud Galeri Di Bazar Warisan


Kerajaan Terengganu akan mewujudkan Galeri Seni di Bazar Warisan di sini, sebagai daya tarikan baru pelancongan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata galeri itu akan menjadi pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti dan jualan berkaitan seni warisan.


Galeri ini akan dibangun dengan kerjasama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), katanya pada sidang media, di Kuala Terengganu.

Abdul Rahin berkata dengan adanya galeri itu, pelajar UiTM berpeluang mempamer dan memperkenal seni grafik digital dalam menghasilkan batik dan songket.

"Usaha ini selepas terdapat pengkhususan diploma baru yang diperkenalkan pusat pengajian itu seperti Seni Reka Grafik & Media Digital dan Seni Reka Tekstil," katanya.

Selain itu, galeri juga akan menempatkan hasil karya pelajar Diploma Seni Reka Fesyen, Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif, katanya.

Abdul Rahin berkata selain pusat pameran, galeri itu turut berfungsi sebagai pusat jualan hasil kerja seni pelajar dan dapat memupuk asas keusahawanan dalam kalangan mereka.

"Galeri Seni ini dijangka mampu menjadi 'design centre' dengan menawarkan khidmat konsultansi seni reka kepada pengusaha dan organisasi yang memerlukan, sekali gus dapat mewujudkan jalinan industri dan pendedahan yang meluas kepada para pelajar terlibat," katanya.

No comments:

Post a Comment