Saturday, August 25, 2012

Kecundang Kali Kedua - Pasukan Pilihan Mana Yang Akan Tersisih Saingan Piala Malaysia?

Kelantan akan berdepan Kedah malam ini selepas dikalahkan oleh Terengganu 2-0 Rabu lalu - Gambar Harith Fadzillah.
Juara liga Super 2012 Kelantan, Selangor, Lions XII, Negeri Sembilan, Johor FC pastinya bertekad memburu kemenangan sulung malam ini.

Mereka adalah pasukan pilihan beserta dengan Teregganu yang melakar kemenangan Rabu lalu.
Perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia malam ini menjanjikan saingan lebih getir khususnya kepada pasukan yang tewas pada perlawanan sulung Rabu lalu.

Kelantan mahu menghapus duka tewas perlawanan pertama kepada Terengganu, ketika melayan kehadiran Kedah. Juara 32 kali Selangor pula yang turut tumpas pada perlawanan sulung kepada Sarawak pasti mahu mencari tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri menentang Pahang, andai tidak mahu kecewa menggapai 'Misi 33'.

Juara bertahan Negeri Sembilan yang sekadar seri pada perlawanan pertama, juga beraksi di gelanggang sendiri menentang pasukan berstatus kelab yang juga finalis Piala FA, Sime Darby.

Hakikatnya Kelantan tidak punya pilihan, kecuali menundukkan Kedah pada aksi kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini jika mahu mencerahkan peluang ke suku akhir.

Kekalahan kepada Terengganu dalam aksi sulung Kumpulan B tidak mematahkan semangat The Red Warriors, sebaliknya mereka bagaikan singa lapar apabila berdepan Kedah.

Kelantan akan membuat rombakan kecil bagi menghadapi perlawanan tersebut. Mohammad Ghaddar akan kembali ke pangkuan pasukan selepas penggantungan.

Kehadirannya bakal menguatkan lagi jentera serangan pasukan. Pada perlawanan dengan Terengganu itu, Kelantan bukan tidak bermain baik tetapi nasib tidak menyebelahi apabila banyak percubaan ke gawang digagalkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee.

Bosko Balaban (kiri) bakal berdepan tugasan berat mengemudi jentera serangan Selangor menjelang perlawanan berdepan Pahang dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia, malam ini.
Selangor pula tidak rela dilanyak oleh Pahang pada aksi kedua di Stadium Shah Alam malam ini selepas dibaham Sarawak dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia Rabu lalu.

Pengendalinya, Irfan Bakti menegaskan, tiada pilihan lagi buat Safiq Rahim, Bosko Balaban dan pemain-pemain Red Giants yang lain kecuali meraih kemenangan ke atas Tok Gajah jika masih berhasrat menjayakan Misi 33 kali menjuarai Piala Malaysia.

''Selangor kena menang, sudah tiada cara lain lagi buat kami selepas kalah kepada Sarawak dan tiga mata ke atas Pahang dapat menghidupkan peluang memburu slot ke suku akhir.

''Kekalahan kepada Sarawak sudah dilupakan pemain dan mereka hanya mahu memikirkan pertemuan dengan Pahang kerana perlawanan ini boleh disifatkan sebagai misi hidup mati.

''Biarpun saya akui kekuatan Selangor sedikit terjejas tanpa khidmat Amri Yahyah dan Bunyamin Omar kerana digantung, itu tidak boleh dijadikan alasan dan pemain perlu memikul tanggungjawab bersama, " kata Irfan semalam.

Namun, Irfan sama sekali tidak memandang rendah kemampuan skuad bimbingan Dollah Salleh itu yang masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas T-Team di Stadium Darul Makmur.

Satu lagi perlawanan Kumpulan D membabitkan T-Team dan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan skuad kendalian Yunus Alif juga berada dalam situasi terdesak selepas kalah dalam perlawanan pertama.



Pertembungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu yang menang dalam perlawanan sulung Kumpulan B tidak kurang sengitnya, tambahan B. Sathianathan boleh menagih kembali sentuhan dua pemain import, Marlon Alex James dan Bruno Martelotto yang digantung pada perlawanan pertama.
 
Saingan Kumpulan A dan C masih terbuka kepada mana-mana pasukan selepas tiada pasukan berjaya meraih sebarang kemenangan dalam perlawanan sulung.

Wakil Singapura, LionsXII yang dianggap pilihan utama untuk mengungguli kumpulan tidak mampu menjinakkan pasukan jiran, Johor FC, Rabu lalu dan perlu berwaspada apabila menerima kunjungan PKNS malam ini.

Dalam Kumpulan C, Negeri Sembilan dan Perak dijangka boleh meraih kemenangan ke atas dua pasukan kelab, Sime Darby dan Felda United jika dapat menterjemahkan prestasi sebenar di atas padang.

Pertemuan abang menentang adik di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pasti menarik dengan Johor FC tentunya mahu mengekalkan reputasi selaku wakil terbaik negeri itu, sementara Johor tidak rela dimalukan.

Aksi antara Selangor PKNS dan Johor dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Rabu lalu.
Malah, skuad Lebah kendalian Sazali Saidun sudah ada resipi tersendiri bagi memerangkap kerakusan barisan bimbingan Fandi Ahmad selepas kelibat dua pemain yang digantung pada aksi pertama menentang Lions XII - Mohd Khairul Ismail dan Mohd Syazwan Zainon kemungkinan tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan.

Perlawanan yang amat dinanti oleh kedua-dua penyokong itu pasti menarik tatkala bakal menggamatkan kembali `Sorakan Larkin' yang sekian lama menyepi selepas Johor FC dan Johor buat pertama kali beraksi dalam saingan kompetitif.

"Perlawanan menentang Johor sering diadakan namun ia sekadar aksi persahabatan tetapi berbeza pada kali ini apabila Johor FC dan Johor terpaksa bertembung buat pertama kali bagi memburu kemenangan untuk menjamin kedudukan terbaik dalam Kumpulan A ketika Lions XII yang beraksi di laman sendiri dilihat tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan PKNS Selangor.

Sumber - Berita Harian, Utusan Malaysia & Kosmo

No comments:

Post a Comment