Friday, August 3, 2012

Kelab Wartawan Terengganu Bakal Tubuh Koperasi Media

Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bakal menubuhkan Koperasi Media Terengganu tidak lama lagi dalam usaha menjadikan kelab itu sebagai sebuah badan yang mampu berdikari.

Presiden Kawat Ayob Mamat berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi tujuan itu dan penubuhannya dijangka akan direalisasi pada tahun ini juga.

"Kawat akan mendapat khidmat nasihat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi tujuan ini dan buat permulaan, koperasi ini akan memberi keutamaan kepada anggota Kawat sahaja.


"Saya menerima reaksi yang baik daripada semua pihak mengenai cadangan penubuhan koperasi termasuk ramai individu yang mahu menjadi ahli koperasi kami dan ini adalah perkembangan yang baik," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu, semalam.

Ayob berkata pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa bidang perniagaan yang akan diceburi koperasi itu, antaranya perniagaan runcit dan penerbitan.

Beliau berkata Kawat sangat komited untuk melihat penubuhan Koperasi Media Terengganu menjadi kenyataan demi menjaga kebajikan anggota serta mewujudkan kelab yang mampu berdikari.

"Selepas lebih 32 tahun ditubuhkan, sudah sampai masanya Kawat mempunyai sesuatu yang boleh menjadi masa depan pendapatannya, tetapi pada masa sama kami masih mengharapkan bantuan pelbagai pihak.

"Kawat akan mewujudkan rangkaian rakan strategiknya yang akan bertindak sebagai rakan dalam menjayakan aktiviti koperasi itu nanti. Itulah harapan kami," katanya.

Sekiranya Koperasi Media Terengganu menjadi kenyataan, Kawat mungkin menjadi kelab media pertama di negara ini yang menubuhkan koperasi media.

No comments:

Post a Comment