Saturday, August 4, 2012

Sebanyak 14,514 Peserta Telah Dapat Manfaat Daripada Program Jaya Diri YPK


Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah membelanjakan RM38 juta untuk membantu 14,514 rakyat negeri ini sejak 1995 melalui Program Jaya Diri untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, YPKT telah membelanjakan RM4.7 juta bagi program itu membabitkan 800 peserta.

"YPKT bukan sahaja memberi modal pinjaman untuk memulakan perniagaan, bahkan turut membantu peserta melalui kursus dan bimbingan bagi memastikan mereka mampu berdikari dengan ilmu yang ada.



"Kebanyakan peserta juga kini sudah berjaya dengan peningkatan pendapatan bulanan, malah kita bangga apabila ada antara mereka yang kini bergelar usahawan berjaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penyampaian sijil kepada 32 peserta bantuan Jaya Diri terbaik di Seri Iman di  malam Rabu lalu.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan beberapa exco, pegawai kanan kerajaan serta ketua jabatan.

Menteri Besar sebelum itu bertadarus bersama barisan Exco kanan kerajaan negeri dan berbuka puasa bersama rakyat sempena program RTM Jelajah Merdeka Raya Menteri Besar (kiri) sempat berbual dengan penerima modal perniagaan melalui Program Jaya Diri YPK di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Pinjaman modal secara mikro kredit kepada isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin disediakan bagi membolehkan peserta mengusahakan projek ekonomi yang boleh menambah pendapatan keluarga dengan kadar bayaran yang mampu dibayar oleh peserta.

YPK memainkan peranan penting sejak penubuhannya pada 1986 bagi membantu membantu golongan miskin dan ibu tunggal untuk mengubah nasib dan kehidupan dengan menjalankan perniagaan.

“Semua peserta kebanyakannya berjaya meningkatkan pendapatan mereka dengan menyertai program YPK ini.

Hakikatnya, kerajaan bersedia menyediakan kemudahan dan bantuan pinjaman modal, bimbingan, galakan mahu pun nasihat bagi memastikan masyarakat kita mampu mengubah kehidupan dan sikap ke arah lebih baik, demi memperbaiki ekonomi keluarga masing-masing” katanya.

Menteri Besar turut mengingatkan masyarakat negeri ini supaya memanfaatkan peluang dan ruang yang disediakan kerajaan kepada mereka bagi mengubah taraf kehidupan dan tidak ` miskin minda’ sehingga sanggup menggunakan bantuan kewangan itu ke jalan yang tidak sepatutnya.

Di majlis itu, seramai 32 penerima anugerah Program Jaya Diri Berdikari menerima sijil pengiktirafan dan replika cek masing-masing dalam perniagaan yang disampaikan Menteri Besar.

Selain itu, YPK turut membelanjakan RM4.77 juta bagi menyediakan pinjaman PJDYPK kepada 864 peserta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Kesemua replika cek diterima wakil masing-masing mengikut parlimen.

No comments:

Post a Comment